Kebebasan maklumat penting untuk kurangkan penyebaran berita palsu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kebebasan maklumat dan hak memperoleh maklumat tepat adalah penting, terutamanya dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi berkata, ini akan dapat memastikan rakyat dapat memperoleh maklumat semasa dan tepat yang akhirnya mengurangkan penyebaran maklumat dan berita palsu.

"Kementerian saya sedang bekerjasama rapat dengan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) untuk meneroka kemungkinan mewujudkan perundangan Hak kepada Maklumat di Malaysia.

Saya dimaklumkan sesi libat urus sudah dilaksanakan di peringkat Persekutuan dan negeri untuk memastikan keputusan dasar adalah berasas dan boleh dikemukakan kepada kerajaan untuk diputuskan nanti,” katanya dalam ucapan penutup Forum Maya Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2022 dengan tema ” Journalism Under Digital Siege” di sini, pada Selasa.

Wan Junaidi berkata, beliau amat menyokong inisiatif ini dan akan memudah cara keputusan dasar apabila tiba masanya, sambil menambah sebagai sebuah negara demokrasi perlu ada semak dan imbang terhadap kerajaan, media memainkan peranan penting di sini.

Beliau berkata, media boleh bertindak sebagai sebuah jambatan antara kerajaan dan rakyat selain peranan media adalah penting sebagai mekanisme konduit, maklum balas dan pendedahan.

"Kebanyakan rakyat menerima maklumat mengenai apa yang berlaku dalam kerajaan dan bagaimana ia memberi kesan kepada mereka menerusi media. Bagi meluaskan sempadan kebebasan media, semua pengamal media mestilah jujur dalam pelaporan mereka dan melaporkan berita sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata, pengamal media perlu menyesuaikan diri kepada perubahan berikutan permintaan revolusi Internet dalam era globalisasi bagi memenuhi tabiat pengguna untuk mendapatkan berita terkini, berita nyata masa, kebanyakannya dimuat naik 24 jam secara dalam talian.

"Sedemikian, pengamal media perlu menyesuaikan diri dengan perubahan ini (tabiat pengguna) dan mencari jalan menangani kepungan digital.

Walaupun saya tertarik dan menyokong perkembangan di dalam persaudaraan media, saya juga bingung bagaimana kebebasan bersuara digunakan untuk menyebarkan maklumat tidak tepat dan kadang-kadang palsu.

Saya gembira pada zaman ini "internet citizens” atau lebih dikenali sebagai netizen dan generasi baharu pempengaruh diberi peluang untuk mengamalkan kebebasan bersuara dan kebebasan pendapat. Bagaimanapun, saya juga percaya kebebasan ini perlu diamalkan dengan bertanggungjawab oleh semua pihak,” kata beliau. - Bernama