JDT nafi mahu guna khidmat Cabrera sebagai pemain naturalisasi

Aksi Cabrera ketika menyarung jersi Harimau Selatan sebelum ini.
Aksi Cabrera ketika menyarung jersi Harimau Selatan sebelum ini.
A
A
A

KELAB Liga Malaysia (Liga-M), Johor Darul Ta'zim (JDT) menafikan dakwaan tular yang juara Liga Super itu berhasrat menandatangani semula Gonzalo Cabrera sebagai pemain naturalisasi, menurut Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim, Alistair Edwards.

“Saya ingin menyangkal dakwaan yang tular mengenai Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) ingin menandatangani semula Gonzalo Cabrera sebagai pemain naturalisasi.

“Kelab membuat keputusan untuk tidak menandatangani Cabrera kerana Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mempunyai peraturan pemain naturalisasi bukan warisan perlu menjadi warganegara Malaysia untuk lima tahun selepas mendapat kerakyatan sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan, melainkan di bawah program naturalisasi kebangsaan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Oleh itu, JDT mengambil keputusan untuk tidak menandatangani Cabrera memandangkan beliau akan berusia 38 tahun selepas lima tahun tersebut,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di laman Facebook JOHOR Southern Tigers.

Untuk rekod, JDT sebelum ini tidak menyambung kontrak Cabrera bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) dan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022.

Sepanjang menyarung jersi JDT, pemain import dari Argentina itu telah menjaringkan 43 gol dalam saingan Liga Super dan 66 gol dalam semua kejuaraan dengan membuat 152 penampilan sejak musim 2017.

Selain itu, Cabrera juga berjaya membantu Harimau Selatan muncul juara liga sejak 2017 hingga 2021 selain Piala Sumbangsih (2018 hingga 2021) dan Piala Malaysia (2018 dan 2019).