8,843 majikan daftar, carum Perkeso sepanjang Mei

Mohammed Azman (kiri) ketika melakukan pemantauan di beberapa premis di Dataran Otomobil, Seksyen 15 pada Rabu.
Mohammed Azman (kiri) ketika melakukan pemantauan di beberapa premis di Dataran Otomobil, Seksyen 15 pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 8,843 majikan baharu yang mendaftar dan membuat caruman dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam tempoh pemutihan sepanjang Mei lalu.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, angka tersebut meningkat sebanyak 15 peratus berbanding 7,709 majikan yang mendaftar pada April.

Selain itu, beliau berkata, seramai 85,181 Orang Bekerja Sendiri (OBS) dalam Sektor Pengangkutan Penumpang (e-hailing) serta Pengangkutan Barangan dan Makanan (p-hailing) mendaftar pada Mei lalu.

"Ia mencatatkan peningkatan melebihi 17 kali ganda berbanding hanya 4,983 orang direkodkan pada bulan April 2022 sepanjang tempoh pemutihan.

"Statistik majikan dan OBS ini menunjukkan tempoh pemutihan yang dilaksanakan Perkeso berkesan dalam menggalakkan mereka mendaftar secara sukarela," katanya dalam satu kenyataan Rabu.

Sementara itu, Mohammed Azman yang turut merasmikan Ops Kesan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Rabu bagi mengesan majikan yang gagal mendaftar dengan Perkeso dan memastikan setiap pekerja layak mendapat perlindungan keselamatan sosial sewajarnya.

Mohammed Azman (tiga dari kanan) ketika merasmikan Ops Kesan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Rabu.
Mohammed Azman (tiga dari kanan) ketika merasmikan Ops Kesan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Rabu.

Ujarnya, seramai 500 anggota Perkeso di seluruh negara turun padang secara serentak, setelah operasi tersebut dihentikan sementara tahun lepas akibat penularan pandemik Covid-19.

"Bertemakan ‘Merealisasi Pematuhan Optimum’, operasi kali ini memberi tumpuan kepada majikan-majikan yang layak tapi belum mendaftar di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

"Semua majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja tanpa mengira had gaji, termasuk pekerja asing yang bekerja secara sah di negara ini, wajib mendaftar dalam masa 30 hari dari tarikh pekerja tersebut diambil bekerja.

"Kegagalan majikan mendaftarkan pekerja mereka di bawah kedua-dua Akta 4 dan Akta 800 boleh menyebabkan majikan dipenjara sehingga dua tahun atau didenda RM10,000 atau kedua-duanya sekiranya jika sabit kesalahan," katanya.