[VIDEO] Lapor polis, Afdlin Shauki dakwa hanya mahu ketelusan

Afdlin Shauki
Afdlin Shauki
A
A
A

SHAH ALAM - Pelakon, pelawak dan pengarah filem, Datuk Afdlin Shauki menyatakan beliau hanya mahukan ketelusan di sebalik laporan polis yang dibuatnya dalam pemilihan jawatan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Setiawangsa.

Afdlin turut menerima kekalahan dalam pemilihan jawatan terbabit yang menyaksikan dirinya tewas kepada Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Saya menang undi fizikal. Undi atas talian saya kalah. Kalah 100 orang dalam kawasan (yang) ada lebih 5,000 ahli, tak besar sangat kot.

"Tapi kalah saya terima, minta ketelusan saja," katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika membalas ciapan seorang pemilik Twitter bernama 'Shafiq Amran' yang mendakwa Afdlin memalukan dirinya dengan membuat laporan polis mengenai perkara terbabit.

Afdlin sebelum ini dilapor membuat laporan polis dan antara lain mendakwa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) gagal mengurus perjalanan pengundian dengan baik.

Dalam laporan dibuat di Balai Polis Pudu, Afdlin juga mendakwa banyak penipuan berlaku dalam pemilihan pada hujung bulan lalu.

Katanya, laporan polis dibuat terhadap JPP yang didakwanya gagal bertindak terhadap aduan mengenai kelemahan perjalanan pengundian yang diajukan sepanjang pemilihan berlangsung.