'Umpan' pakej RM8, perancang perkahwinan perdaya pengantin ditahan

Kamarul Zaman (tengah) menunjukkan suspek wanita yang terlibat dalam 10 kes memperdaya pengantin, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Rabu
Kamarul Zaman (tengah) menunjukkan suspek wanita yang terlibat dalam 10 kes memperdaya pengantin, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Rabu
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang perancang perkahwinan disyaki memperdaya beberapa pasangan pengantin dengan tidak menyediakan perkhidmatan pakej perkahwinan bajet serendah RM8 setiap jemputan ditawarkan pada Selasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, wanita berusia 50-an yang mengusahakan perkhidmatan katering itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan kira-kira jam 5 petang.

"Polis menerima 10 laporan membabitkan pengusaha katering berkenaan dengan kerugian RM53,380 setakat Isnin lalu.

"Susulan laporan polis yang diterima, polis telah menahan suspek bagi membantu siasatan kes yang berlaku sekitar Kulai dan Johor Bahru," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat Rendah Polis Kontinjen Johor sesi 2/2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Rabu.

Sebelum ini tular seorang pengusaha katering memperdaya pasangan pengantin yang mengadakan majlis perkahwinan dengan menawarkan pakej murah tersebut.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, mangsa hanya menyedari diperdaya apabila makanan yang ditempah tidak dihantar atau kurang daripada sepatutnya selain menerima makanan yang sudah basi.

"Ini menimbulkan kesulitan selain menjejaskan keharmonian antara pengendali majlis dan jemputan termasuk membabitkan golongan kenamaan apabila makanan tidak dapat disediakan," katanya.

Mengikut laporan yang diterima setakat ini, beliau berkata, semua transaksi bayaran dilakukan secara dalam talian bagi kes berlaku antara Mei hingga awal Jun melibatkan kerugian RM53,380.

Katanya, wanita itu bertindak menukar akaun Facebook bernama Kekasih Hati Katering kepada akaun bernama Emir Mimi setelah helahnya itu tular didedahkan dalam media sosial.

"Ramai yang tertipu dengan modus operandi digunakan kerana pakej ditawarkan sangat rendah berbanding kebanyakan pakej sedia ada iaitu antara RM10 hingga RM12 ke atas.

"Kami yakin akan menerima beberapa laporan polis dan menggesa mangsa yang lain untuk tampil membuat laporan dengan segera," katanya.

Ujarnya, suspek wanita itu ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat bagi membantu siasatan dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.