Kematian dalam tahanan: 78 keterangan saksi direkod, kes dirujuk ke IPCC - JIPS

Laporan Sinar Harian mengenai kes kematian Allahyarham Noorizwan yang meninggal dunia semasa dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Laporan Sinar Harian mengenai kes kematian Allahyarham Noorizwan yang meninggal dunia semasa dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes kematian Allahyarham Noorizwan Zulkefly, 42, yang meninggal dunia semasa dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini telah dirujuk ke Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid berkata, ini selaras dengan kehendak Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839).

Menurutnya, berdasarkan bedah siasat yang dijalankan terhadap si mati mendapati tiada sebarang kecederaan organ dalaman.

"Namun, terdapat beberapa kecederaan pada bahagian luaran dan punca kematian telah dinyatakan sebagai pending laboratory analysis (menunggu keputusan analisis makmal).

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut di mana Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman meneruskan siasatan dari pelbagai sudut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, USJKT telah merakam percakapan 78 orang saksi terdiri daripada pegawai polis, orang awam, pegawai perubatan, pakar perubatan forensik, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) termasuk dua waris.

Kata beliau, pihak polis memegang teguh pada prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan keadilan dalam menangani sebarang insiden sedemikian.

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai memberi ruang untuk siasatan terperinci dijalankan dan memohon tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

“JIPS memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan selaras dengan peraturan dan undang-undang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan, pihak polis masih menunggu laporan penuh Jabatan Kimia dan keputusan patologi bagi menentukan punca sebenar kematian seorang lelaki ketika dalam tahanan, 1 Oktober lalu.

Lelaki itu sebelum ini ditahan IPD Cheras berkait kes yang disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Pada 30 September lalu, si mati dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.52 pagi, 1 Oktober.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!