Bekas diplomat, anak tidak mengaku tanam 102 pokok ganja

Zainal Abidin (dua dari kiri) dan Mohamed Rizal dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Raub selepas mendengar pertuduhan.
Zainal Abidin (dua dari kiri) dan Mohamed Rizal dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Raub selepas mendengar pertuduhan.
A
A
A

RAUB - Bekas diplomat bergelar Datuk dan anaknya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 102 pokok disyaki pokok ganja di Mahkamah Sesyen Raub pada Rabu.

Tertuduh, Datuk Zainal Abidin Alias, 78, dan Mohamed Rizal Zainal Abidin Alias, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Kedua-dua tertuduh turut memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menanam 102 pokok ganja di Kampung Sum Sum Hilir Janda Baik, Bentong pada jam 6.10 petang, 21 Mei lalu.

Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 [Akta 234] yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan diwajibkan sebatan maksimum enam kali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Mohammad Khalid Ab Karim bersama Hayda Faridzal Abu Hasan dan Anisah Pisol manakala tertuduh diwakili peguam Rahmat Hazlan.

Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh dan kes disebut semula 22 Julai depan.

Sementara itu, Rahmat turut memberitahu mahkamah satu surat representasi dihantar ke Pejabat Peguam Negara 2 Jun lalu.