Najib mohon masukkan bukti baharu berkaitan hakim Nazlan

Najib hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, bagi sambungan perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya. Foto Bernama
Najib hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, bagi sambungan perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan untuk memasukkan bukti baharu berkaitan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali kepada Mahkamah Persekutuan Putrajaya bagi membatalkan perbicaraan kes rasuah kes seleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC), pada Selasa.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu berkata, ada beberapa dokumen telah menarik perhatian pasukan pembelaan, yang mendedahkan bahawa Maybank Investment Bank Bhd adalah badan yang bertanggungjawab untuk mencadangkan penubuhan SRC.

Beliau berkata, Maybank Investment melalui bahagian penasihat strategik milik penuhnya, Bina Fikir Sdn Bhd telah ditugaskan untuk penyelidikan dan urusan nasihat berkaitan penubuhan SRC.

"Penglibatan Maybank melalui Maybank Investment dan Bina Fikir Sdn Bhd dalam penubuhan SRC tidak pernah dikemukakan oleh pihak pendakwaan pada mana-mana peringkat perbicaraan SRC dan tiada saksi daripada Maybank, Maybank Investment dan Bina Fikir Sdn Bhd dipanggil atau ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

"Bukti lanjut yang ingin dikemukakan secara kumulatif secara boleh dipercayai mengesahkan bahawa hakim Nazlan terlibat dan atau mempunyai pengetahuan tentang peranan Maybank Investment dalam menasihati penubuhan SRC dalam peranannya sebagai Penasihat Am dan Setiausaha Syarikat kepada Maybank.

"Hakim Nazlan dengan sengaja gagal mendedahkan peranan dan/atau penglibatan dan/atau pengetahuannya mengenai peranan Maybank Investment melalui Bina Fikir Sdn Bhd dalam penubuhan SRC.

"Dengan pengetahuan ini disembunyikan daripada pihak pembelaan, hakim Nazlan telah membuat penemuan dalam alasan penghakimannya terhadap Najib bahawa beliau mempunyai kawalan menyeluruh ke atas SRC," katanya ketika sidang media di Mahkamah Tinggi di sini.

Selain itu, berdasarkan kedudukannya beliau berkata, hakim Nazlan pasti mempunyai pengetahuan mengenai pinjaman RM140 juta yang diberikan oleh Maybank kepada Putra Perdana Development (PPD).

Untuk rekod, dalam perbicaraan kes SRC International sebelum ini, wang RM140 juta yang diselewengakan telah dilencongkan ke akaun PPD sebelum dipindahkan ke akaun peribadi Najib.

Selain itu Muhammad Shafee berkata, hasil daripada kemudahan pinjaman Maybank itu merupakan sebahagian daripada RM42 juta yang dikaitkan dengan pertuduhan terhadap Najib.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, dokumen yang diperoleh baru-baru ini, mendedahkan bahawa hakim Nazlan, pada 12 Mac 2012, bertindak sebagai Peguam Am dan Setiausaha Syarikat Malayan Banking Berhad dalam perbincangan dan membuat keputusan kemudahan pinjaman sebanyak RM4.17 bilion kepada 1MDB untuk pemerolehan Tanjong Tenaga.

Muhammad Shafee berkata, isu ini akan meletakkan hakim Nazlan dalam kedudukan yang berpotensi menjadi saksi dalam kes yang dihadapi Najib.

Beliau berkata, meskipun ada pengetahuan peribadi tentang penglibatannya dalam urusan pinjaman kepada 1MDB dan mengetahui bahawa Najib didakwa dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi yang berbeza, di mana beliau (hakim Nazlan) boleh menjadi saksi yang berpotensi, hakim itu telah gagal untuk membuat pengisytiharan tentang penglibatan peribadinya kepada pihak-pihak dalam kes ini.

"Hakim Nazlan tahu bahawa SRC pada satu masa dahulu dimiliki sepenuhnya oleh 1MDB dan kemudiannya menjadi milik terus Kementerian Kewangan, jadi SRC dan 1MDB adalah syarikat bersekutu yang mempunyai pemegang saham yang sama.

"Penglibatan hakim Nazlan dalam isu pinjaman 1MDB tersebut menggambarkan sejauh mana skop luas dalam tugasnya sebagai Penasihat Am dan Setiausaha Syarikat," katanya.

Beliau berkata, bukti baharu akan mendedahkan penindasan keterangan oleh pihak pendakwaan dan atau pihak berkuasa penyiasat di mana mereka tahu dan sepatutnya mengetahui kewujudan bukti ini.

Namun katanya, pihak berkenaan gagal mendedahkannya kepada pembelaan sebagai fakta yang memihak kepada pembelaan.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 hari bermula 15 hingga 26 Ogos ini bagi pendengaran rayuan akhir Najib untuk mengetepikan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes SRC.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta dan memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dipenjara 12 tahun dan didenda sebanyak RM210 juta.

Pada 8 Disember 2021, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.

Keputusan sebulat suara itu (unanimous) dibuat selepas mendapati keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah selamat dan tidak perlu diubah.