BNM perlu tubuh jawatankuasa bertindak bersama

Gambar hiasan. Gambar kecil: Chean Chung
Gambar hiasan. Gambar kecil: Chean Chung
A
A
A

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) perlu menubuhkan jawatankuasa bertindak bersama pihak polis dan bank komersial bagi menyiasat kes sindiket berkaitan kecurian wang simpanan bank yang sedang berlaku ketika ini.

Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chean Chung berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut akan mempercepatkan proses siasatan sekali gus memastikan kes tersebut dapat diatasi.

"Saya kesal dengan tindakan lembab BNM dalam memberikan penjelasan serta sokongan kepada mangsa-mangsa yang simpanan bank mereka 'dihilangkan' oleh sindiket pemancing scam.

"Baru-baru ini, kes-kes wang simpanan bank 'dihilangkan' telah naik mendadak. Terdapat kes yang mana simpanan tetap bank juga dilesapkan. Tindakan berleluasa kelompok sindiket ini seolah-olah sedang mencabar keupayaan institusi penguatkuasaan dan perundangan negara kita.

"Namun, apa yang dialami oleh mangsa adalah bank-bank komersil sering kali mengalihkan tanggungjawab kepada pihak polis dan mahkamah. Pembisuan BNM akan mewujudkan persepsi bahawa badan yang mengawal selia lebih memihak kepada bank dan bukan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, sindiket akan menjadi lebih berani dan keyakinan rakyat terhadap institusi kewangan semakin terhakis sekiranya BNM masih tidak tampil memberikan penjelasan dan siasatan.

"Turut diingatkan bahawa perniagaan bank komersil ini adalah bergantung kepada para penyimpan, maka tidak boleh dilepaskan kesemua tanggungjawab apabila wang simpanan pencarum 'dihilangkan'.

"BNM sebagai badan tertinggi yang mengawal selia sektor bank juga tidak boleh mendiamkan diri. Jangan sesekali menghantar isyarat bahawa mangsa-mangsa tersebut dan bukan si penipu yang harus dipersalahkan," katanya.

Beliau berkata, talian hotline juga perlu diwujudkan supaya dapat memberikan panduan dan bimbingan kepada rakyat untuk menangani kes-kes tersebut.

"Dalam jangka masa yang lebih panjang, BNM wajar menerajui penambahbaikan keselamatan maya (cyber security), umpamanya mengemaskini kerangka pengurusan risiko teknologi. Dengan ini, baharulah kes penipuan dalam talian dapat dikawal dan keyakinan rakyat dapat dipulihkan," katanya.