Perhimpunan veteran ATM: Polis rakam keterangan enam individu

Polis sedang mengesan beberapa individu lain yang menyertai himpunan itu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan. (Gambar kecil kiri : Noor Dellhan)
Polis sedang mengesan beberapa individu lain yang menyertai himpunan itu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan. (Gambar kecil kiri : Noor Dellhan)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah memanggil enam individu untuk dirakam keterangan berkaitan perhimpunan membabitkan Sekretariat Majlis Reunion Perjumpaan Bekas Perajurit RU6622 di Tugu Negara di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya berkata, keenam-enam individu itu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk memberi keterangan.

"Setakat ini kita telah memanggil enam individu dan sedang mengesan beberapa individu lain yang menyertai himpunan itu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan kira-kira 1,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhimpun di Tugu Negara di sini untuk menuntut beberapa perkara termasuk penyelarasan pencen dan menjaga kebajikan mereka oleh Kementerian Pertahanan.

Pengerusi bersama perhimpunan, Mejar (B) Mior Rosli Mior Mohd Jaafar dalam ucapannya berkata, tujuan perhimpunan tersebut diadakan bagi menyampaikan tiga tuntutan utama kepada kerajaan.

Menurutnya, ia selepas lapan tahun mereka berjuang untuk menegakkan tuntutan yang disifatkan sebagai 'hak kumpulan pesara', namun tiada tindakan dan perhatian diberikan kerajaan.