Lapor segera kekosongan pegawai perubatan kepada sumber manusia

Khairy Jamaluddin - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Khairy Jamaluddin - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Pengarah dan ketua jabatan hospital perlu melaporkan segera kekosongan kepada Bahagian Sumber Manusia Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tegas Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ia bagi mengelakkan berlakunya bebanan tugas yang terpaksa ditanggung oleh pegawai perubatan.

"Apabila melihat aduan ini, saya sendiri tidak puas hati. Saya pasti ini bukan satu-satunya kes yang berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai luahan pengguna akaun Twitter dipercayai seorang pegawai perubatan yang mendakwa isterinya yang juga pegawai perubatan di sebuah hospital di Perak terpaksa 'on call' hampir setiap hari selama tiga bulan berikutan rakan sekerja sedang cuti bersalin.

Khairy berkata, Bahagian Sumber Manusia KKM sedaya upaya untuk meluluskan permohonan pertukaran terutamanya melibatkan pertukaran duka lara.

"Untuk lulus 100 peratus mungkin tidak dapat kerana kita perlu ada kekosongan di tempat yang di mohon, namun kami sedaya upaya berusaha untuk kurangkan jarak kekeluargaan," katanya.

Menurutnya, terdapat sedikit kelemahan membabitkan pengarah hospital tersebut dalam menangani situasi tersebut.

"Saya akan melihat dan mengambil tindakan sewajarnya," ujarnya.

Beliau berkata, jadual kerja dan elaun 'on call' pegawai perubatan akan dikaji di bawah pasukan bertindak khas (task force) untuk penyelesaian.

"Kita bagi dua bulan kepada pasukan khas untuk keluarkan satu laporan menyeluruh.

"Mereka telah bekerja tiga minggu dan berbaki lagi lima minggu untuk siapkan laporan," katanya.

Pada perkembangan sama, Khairy menggesa pegawai perubatan untuk mengisi tinjauan yang dihantar melalui e-mel.

"Survey ini penting kerana terdapat soalan mendalam berkenaan persekitaran kerja di KKM," katanya.

Beliau berkata, setakat ini seramai 40,000 pegawai perubatan telah memberi maklum balas.

"Kalau boleh kita mahukan lebih 60,000 responden kerana lebih banyak maklum balas maka lebih tepat maklumat disampaikan kepada pasukan bertindak," jelasnya.