Lelaki mabuk sebabkan pasangan OKU maut direman empat hari

Pemandu Myvi (tengah) yang dipercayai mabuk dan melanggar pasangan OKU hingga menyebabkan kematian ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini.
Pemandu Myvi (tengah) yang dipercayai mabuk dan melanggar pasangan OKU hingga menyebabkan kematian ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Pemandu lelaki yang dipercayai mabuk dan melanggar pasangan orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran hingga menyebabkan kematian ditahan selama empat hari bermula Isnin.

Perintah reman hingga Jumaat ini dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Nabihah Mohd Noor terhadap pemuda berusia 24 tahun itu yang memandu kereta Perodua Myvi ketika ditahan.

Lelaki bekerja sebagai operator kilang itu direman bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sepasang suami isteri maut selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh pemandu mabuk di Jalan Serkam Pantai, Merlimau, di sini awal pagi Isnin.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, mangsa Ezuddin Mohammad, 50, dan isterinya, Surayah Muhamat, 48, yang bekerja sebagai operator kilang dalam perjalanan dari arah Melaka menuju ke Merlimau.

Ketua Jabatan Sisatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, setiba di lokasi kejadian sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu lelaki berusia 24 tahun dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

Menurutnya, semakan turut mendapati suspek mempunyai enam rekod saman membabitkan kesalahan lalu lintas.

"Setakat ini kita sedang menunggu laporan perubatan ujian alkohol daripada pihak hospital yang dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu," katanya.