Simpanan RM670,000 lebur ditipu 'Ah Seng'

Seorang kerani wanita kerugian lebih setengah juta ringgit selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
Seorang kerani wanita kerugian lebih setengah juta ringgit selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A
A

TAIPING - Seorang kerani yang takut dimasukkan ke penjara kononnya terbabit dengan kes penipuan 'berputih mata' selepas wang simpanan berjumlah RM670,000 lebur ditipu sindiket Macau Scam.

Kejadian itu berlaku apabila wanita berusia 77 tahun itu menerima panggilan daripada lelaki yang menyamar polis menerusi aplikasi WhatsApp pada 15 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, mangsa dimaklumkan Mykad miliknya digunakan untuk kes penipuan dan akan dipenjarakan bagi kesalahan itu.

"Suspek yang memperkenalkan diri sebagai 'Ah Seng' mengarahkan mangsa untuk membayar RM600,000 hingga RM700,00 sebagai pinjaman untuk menubuhkan satu pasukan polis bagi menyelesaikan kes melibatkan mangsa.

"Mangsa bersetuju kerana takut dimasukkan penjara dan suspek mengarahkan mangsa untuk tidak memaklumkan perkara itu kepada sesiapa kerana menganggap siasatan itu adalah sulit," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Osman berkata, siasatan mendapati mangsa memindahkan wang simpanan hasil bekerja, wang peninggalan mendiang suami dan hasil pelaburan ke dalam akaun yang diberikan suspek.

"Mangsa mendepositkan dua cek bernilai RM320,000 dan RM350,000 di sebuah bank pada 23 Mei lalu. Mangsa diarahkan suspek untuk memaklumkan kepada pihak bank bahawa wang tersebut digunakan bagi membeli rumah agar tiada pertikaian berlaku ketika berurusan.

"Bagaimanapun mangsa mengesyaki telah ditipu telah membuat laporan pada Isnin untuk tindakan pihak polis dan rujukan bank," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Masyarakat diingatkan untuk tidak mempercayai sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sebagainya.

"Saya nasihatkan jika menerima panggilan yang mencurigakan anda boleh terus hubungi pihak polis bagi dapatkan maklumat betul," katanya.