FAM tunggu laporan penuh Maloney

Maloney mengemudi sesi latihan Harimau Muda bagi kempen Kejuaraan Piala Asia B-23 2022 di Tashkent, Uzbekistan.
Maloney mengemudi sesi latihan Harimau Muda bagi kempen Kejuaraan Piala Asia B-23 2022 di Tashkent, Uzbekistan.
A
A
A

STATUS Brad Maloney bersama Harimau Muda hanya akan diputuskan selepas menerima laporan penuh daripada pengendali skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara itu.

Malah menurut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, badan induk itu tidak mahu membuat keputusan terburu-buru buat masa ini berkaitan status pengendali dari Australia tersebut.

Jelas Hamidin, pihaknya mahu memberi peluang kepada skuad Harimau Muda mengharungi baki perlawanan peringkat kumpulan berdepan Vietnam, Rabu ini.

“Skuad negara ada satu lagi perlawanan di Tashkent Uzbekistan, biarkan mereka habis dulu. Bila kita dapat laporan daripada Maloney nanti, saya percaya jawatankuasa sepatutnya akan buat keputusan.

“Apa pun biar dulu mereka lawan dengan Vietnam, sudah tentu bukan saja penyokong, saya pun kecewa. Biarlah saya komen selepas mendapat laporan penuh daripada Maloney.

“Mereka masih ada dekat sana, sekurang-kurangnya biarlah mereka tunjukkan sesuatu lawan Vietnam walaupun kita sudah tidak layak ke suku akhir,” katanya pada Isnin.

Cabaran Harimau Muda di Piala Asia B-23 Uzbekistan 2022 berakhir di peringkat kumpulan selepas tumpas 0-3 kepada Thailand, pada aksi kedua Kumpulan C di Stadium Bunyodkor, Tashkent, pada Ahad.

Kekalahan kedua berturut-turut skuad B-23 negara hadir selepas dibelasah 1-4 juara bertahan, Korea Selatan, Khamis lalu, menutup peluang skuad Maloney untuk mengulangi pencapaian terbaik layak ke suku akhir pada edisi 2018.