Pemandu lori elak sekatan jalan raya ditahan

Dua individu ditahan ketika cuba mengelak daripada sekatan jalan raya di Persiaran Perusahaan, Shah Alam pada Ahad.
Dua individu ditahan ketika cuba mengelak daripada sekatan jalan raya di Persiaran Perusahaan, Shah Alam pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan pemandu lori sampah mengelak daripada pemeriksaan ketika sekatan jalan raya di Persiaran Perusahaan, di sini mengundang padah apabila ditahan pihak polis, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tindakan pemandu lori terbabit dikesan semasa Op Pelbagai Kesalahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 9.30 pagi.

Menurutnya, anggota bertugas telah pergi ke arah lori terbabit dan meminta dokumen pengenalan diri serta lesen memandu untuk diperiksa.

"Bagaimanapun, pemandu warga tempatan itu enggan memberi kerjasama sebelum tindakan tangkapan dilakukan.

"Dua individu telah ditahan termasuk kelindan warga Bangladesh yang disyaki melakukan kesalahan imigresen kerana salah guna syarat permit," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, dua individu berusia 54 dan 34 tahun kini direman dua hari untuk siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dalam pada itu, pihak polis menggesa masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan atau kejadian jenayah di Bilik Gerakan Polis IPD Shah Alam di talian, 03-55202222.