Agong, Raja Permaisuri berangkat ke istiadat pengurniaan darjah kebesaran

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memberi tabik hormat kepada Barisan Kawalan Kehormatan Utama ketika berangkat pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda di Istana Negara, pada Isnin. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. - Foto Bernama

A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin berkenan menghadiri Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2022 di Istana Negara.

Turut berangkat ke istiadat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong itu adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin yang kemudian mengiringi pasangan Diraja itu ke Peterana Diraja.

Sebaik tiba di Peterana Diraja, Al-Sultan Abdullah diberi Hormat Diraja oleh Kawalan Kehormatan Utama dan serentak itu, lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) dan Panji Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dikibarkan diikuti 21 das tembakan meriam.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dan selesai pemeriksaan, Seri Paduka sekali lagi menerima Hormat Diraja dan lagu Negaraku berkumandang.

Seri Paduka berdua kemudiannya diiringi perdana menteri dan isteri, berangkat meninggalkan Peterana Diraja ke Dewan Sri Maharaja bagi meneruskan atur cara Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan.

Istiadat itu merupakan satu daripada enam acara yang dijadual berlangsung bermula 2 Jun lepas hingga 10 Jun sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong tahun ini.

Bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi itu, seramai 1,021 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2022. - Bernama