Patuhi arahan pada hari penamaan

188748
188748
A
A
A

RANTAU - Semua pihak diminta mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), polis dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) semasa hari penamaan calon PRK DUN Rantau, Sabtu ini.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, ini bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan aman, harmoni serta tiada gangguan.

"Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] memperuntukkan mengenai perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan semasa hari penamaan calon seperti penggunaan alat muzik/pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan kenderaan.

"Orang ramai juga dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon. Jika ada mana-mana pihak yang melanggar peruntukan seksyen ini tindakan undang-undang boleh dikenakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, SPR turut mengingatkan bakal-bakal calon yang telah membayar Deposit Pilihan Raya agar membawa resit pembayaran deposit tersebut pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.

"Selain itu, mereka yang bertanding mewakili parti politik diingatkan supaya membawa surat kebenaran daripada parti yang membenarkan mereka menggunakan simbol parti," katanya.

Katanya lagi, tempoh masa untuk mengemukakan kertas penamaan calon bermula dari jam 9 pagi hingga 10 pagi.

"Kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dengan betul boleh dikemukakan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya oleh calon dan pencadang dan penyokong; atau mana-mana dua orang daripada mereka; atau mana-mana seorang daripada mereka," katanya.

Artikel Berkaitan: