Warga Singapura dalang seludup rokok, arak bernilai RM1.13 juta

Empat daripada enam suspek ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran minuman keras dan rokok tidak bercukai di dua resort di Senai, Johor Bahru pada Ahad.
Empat daripada enam suspek ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran minuman keras dan rokok tidak bercukai di dua resort di Senai, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menumpaskan satu sindiket pengedaran rokok dan arak tidak bercukai melibatkan rampasan bernilai RM1.13 juta dalam dua serbuan di sebuah resort di Senai, dekat Kulai, pada Sabtu.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Mohd Razali Melin berkata, dalam Op Kontraban kira-kira 9.30 pagi itu, pihaknya turut menahan enam individu termasuk tiga warga asing berusia 28 hingga 60 tahun.

Beliau berkata, kesemuanya terdiri daripada tiga lelaki tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita warga Myanmar serta seorang lelaki warga Singapura.

"Hasil siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi lebih empat tahun dan beberapa siri tangkapan telah dilakukan ke atas sindiket ini namun mereka masih meneruskan operasi penyeludupan.

"Dipercayai lelaki warga Singapura berusia 60 tahun itu yang dikenali sebagai Kenny merupakan ketua atau dalang utama sindiket tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Razali berkata, tangkapan dan rampasan berkenaan berjaya memutuskan sindiket pengedaran rokok dan arak tidak bercukai di sekitar Kulai dan bandar raya ini.

Beliau berkata, kesemua barangan itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967. - Bernama