Mohd Shafie sedia dicabar jawatan Presiden Warisan

Mohd Shafie (kanan) dan Darell pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan di Kota Kinabalu pada Sabtu.
Mohd Shafie (kanan) dan Darell pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan di Kota Kinabalu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal terbuka jika kedudukannya dicabar pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) untuk pemilihan parti tritahunan yang dijangka pada Ogos ini.

Mohd Shafie berkata, beliau tidak akan menghalang mana-mana ahli untuk berada dalam kepimpinan parti itu.

"Kalau pimpinan kita masih boleh diterima, kita terimalah. Tidak ada sekatan, tidak halangan kepada mana-mana pihak yang ada.

"Malah saya pun sudah maklumkan kepada timbalan saya (Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking), kalau nak lawan ketua pun tiada masalah bagi saya," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan, di Ibu Pejabat Warisan, Kolombong di sini, pada Sabtu.

Ahli Parlimen Semporna itu memaklumkan bahawa Warisan mengamalkan prinsip demokrasi dalam pemilihan parti itu.

"Kita ada sistem demokrasi. Saya sudah maklumkan dalam ahli majlis tertinggi, tiada masalah dengannya," jelasnya.

Ditanya lanjut sama ada barisan kepimpinan Warisan yang bakal dipilih mampu melakukan persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau berkata, persediaan parti sudah tentu akan dapat dilaksanakan dengan baik.

"Kita sebagai sebuah parti kena akur dengan apa yang berlaku (termasuk PRU15) kalau itu yang menjadi ketetapan parti peraturan yang ada.

"Saya yakin bahawa Warisan masih kukuh penyatuan perpaduan walaupun banyak tekanan dan kita masih bertahan, Warisan di peringkat akar umbi masih kuat," katanya.