TalentCorp bincang bersama saranan wujud badan diaspora

Laporan Sinar Harian pada Isnin lalu. (Gambar kecil: Ahmad Syahid)
Laporan Sinar Harian pada Isnin lalu. (Gambar kecil: Ahmad Syahid)
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar Dinamik Bendalir dan Pemindahan Haba, Dr Ahmad Syahid Ahmad Fawzal memaklumkan bahawa agensi kerajaan, TalentCorp Malaysia telah mengadakan perbincangan bersama berhubung saranannya dalam mewujudkan badan diaspora sebagai langkah mengubah senario brain drain kepada brain cycle di negara ini.

Menurut beliau, kedua-dua pihak berkongsi pandangan mengenai perlunya diwujudkan satu program diaspora yang akan membuka peluang untuk pakar yang merantau di luar negara berbakti kepada badan tempatan.

“Rupa-rupanya, idea saya sangat selari dengan TalentCorp yang telah merancang pelaksanaan program ‘Malaysia Heart’ (MyHeart) sejak suku akhir 2021.

“Bulan Jun ini pun mereka dah mula anjurkan MyHeart-REP Career and Facilitation Fest (CaFe).

“Lantas ini akan mengubah senario brain drain kepada brain cycle yang mana kami yang berada di perantauan dapat membawa kebaikan dan sumbangan kepada negara walaupun berjauhan,” kata Ahmad Syahid dalam hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Malaysia telah kehilangan kira-kira 500,000 rakyat berkemahiran tinggi dan berbakat dalam bidang profesional kerana mereka memilih untuk bekerja di luar negara sejak 40 tahun lalu.

Pada Rabu, Ahmad Syahid mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan badan diaspora yang mengumpulkan pakar yang berada di luar negara untuk bekerjasama dengan badan tempatan.

Dalam pada itu, Ahmad Syahid berkata, TalentCorp menyambut baik saranan tersebut dan merancang untuk mengadakan pertemuan seterusnya bagi membincangkan cara terbaik untuk pelaksanaan.

Artikel Berkaitan:

“Saya dan (golongan) diaspora akan terus memberikan input dan perspektif kami kepada pihak TalentCorp.

“Dalam bahasa mudah, kami telah membincangkan berkenaan what and why (apa dan kenapa)? Insya-ALLAH seterusnya kami akan membincangkan berkenaan how (bagaimana) pula,” ujarnya.