KASA teruskan tanam pokok bakau di pesisiran pantai negara

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

NIBONG TEBAL [DIKEMAS KINI] - Program penanaman pokok bakau dan spesies yang sesuai akan diteruskan di pesisiran pantai negara meliputi aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya bakau serta peningkatan kesedaran masyarakat dalam menjaga alam sekitar.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Mansor Othman berkata, ia selaras dengan aspirasi dan usaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), memperkasakan kesedaran dalam melestarikan alam sekitar khususnya dalam kalangan generasi muda dan belia, kerana mereka adalah golongan pelapis yang akan terus menjaga alam sekitar pada masa hadapan.

"Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih yang tinggi, kepada Kelab Belia Prihatin dan para belia daripada seluruh negara yang hadir untuk menjayakan program penanaman 500 batang pokok bakau di kawasan Sungai Acheh hari ini.

"Inisiatif murni seperti ini adalah selaras dengan aspirasi KASA, saya menyeru agar golongan belia terus memainkan peranan penting untuk memastikan kemapanan dan kelestarian alam terjaga untuk masa depan generasi seterusnya,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Pelaksanaan Inisiatif Belia Prihatin Alam Sekitar: Penanaman 500 Pokok Bakau Bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2022, anjuran Perbadanan Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) bersama Kelab Belia Prihatin Malaysia di Pusat Pendidikan Hutan Paya Laut Sungai Acheh, di sini.

Kira-kira 235 orang sukarelawan yang terdiri daripada belia seluruh Malaysia dan mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) serta penduduk dan komuniti nelayan tempatan terlibat dalam penanaman pokok bakau pada Sabtu.

Mansor yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, inisiatif program itu juga bertepatan dengan tema Hari Alam Sekitar 2022 - Bumi Hanya Satu, sekali gus menjadi langkah penting dalam menyebarkan kepentingan, manfaat dan keunikan ekosistem paya bakau Malaysia yang berfungsi sebagai benteng semula jadi hakisan pantai serta bertindak sebagai antara agen penyerap karbon yang paling cekap.

Katanya penglibatan terus masyarakat terutama golongan belia dalam inisiatif sebegini juga pastinya dapat meningkatkan impak dan kesan kempen kesedaran mengenai perubahan iklim serta pemanasan bumi.

Dalam pada itu, beliau berkata, ketika ini terdapat 180,000 batang pokok bakau ditanam di kawasan Pusat Pendidikan Hutan Paya Laut Sungai Acheh itu dan usaha tersebut dijalankan oleh pelbagai pihak bersama komuniti nelayan di situ sejak 20 tahun lalu.

"Saya kagum dengan kesungguhan dan usaha pelbagai pihak terlibat dengan aktiviti penanaman bakau bersama komuniti nelayan di sini sejak 20 tahun lalu dan kini sudah mencecah lebih 180,000 batang pokok ditanam. Ini pastinya satu kembara yang panjang dan yang paling penting ia bermula hanya dengan batang pokok yang pertama.

"Sebenarnya penanaman pokok bakau bukan sahaja boleh mencegah hakisan pantai malah dapat memulihara habitat asal supaya anak ikan, udang dan ketam dapat membiak, ini meningkatkan stok sumber perikanan setempat serta ekonomi penduduk setempat,” katanya.