HFMD: 180 taska, tadika ditutup di Selangor

Sebanyak 18,164 kes HFMD dilaporkan di Selangor setakat 28 Mei lalu. Gambar kecil: Dr Siti Mariah
Sebanyak 18,164 kes HFMD dilaporkan di Selangor setakat 28 Mei lalu. Gambar kecil: Dr Siti Mariah
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 180 taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak harian ditutup akibat penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Selangor setakat Khamis.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, penutupan premis-premis berkenaan dibuat berdasarkan penilaian risiko yang dibuat oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing.

Menurutnya, keputusan tersebut bukan dibuat berdasarkan jumlah kes HFMD yang tinggi di Selangor.

"Penutupan premis dibuat berdasarkan penilaian risiko oleh PKD dan tidak hanya bergantung kepada jumlah kes sahaja," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, Siti Mariah turut memaklumkan sebanyak 18,164 kes HFMD dilaporkan di Selangor setakat 28 Mei lalu.

Bagaimanapun, hanya 419 kes melibatkan tiga peratus daripada jumlah kes tersebut dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

"Sebanyak 202 kluster HFMD dilaporkan, namun kesemuanya masih dalam keadaan terkawal," katanya.