'Terserah Tun M mahu 'khemah besar' yang mana'

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Terserah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya menolak kerjasama antara pembangkang di bawah khemah besar tanpa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, demikian tegas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, tidak menjadi masalah untuk bekas Perdana Menteri itu menentukan khemah besarnya.

"Tidak mengapa la kalau tak setuju, mungkin beliau (Mahathir) ada khemah besar lain, kita serahkan kepada Tun lah.

"Rasanya ramai yang tidak bersetuju dengan Tun..beliau rasa orang bersetuju dengannya tapi beliau tak tahu, orang pun tak setuju dengannya. Jadi sama-samalah kita tengok khemah mana beliau nak pakai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Perkapita dan Dermasiswa Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) kepada Institut Pendidikan Islam Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) 2022, di sini pada Jumaat.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kepentingan kerjasama antara pembangkang di bawah khemah besar namun menolaknya kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menyifatkan kedua-dua pemimpin itu mempunyai agenda menjaga kepentingan sendiri tanpa meletakkan rakyat sebagai keutamaan.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, dalam politik perbezaan pandangan itu adalah perkara biasa malah masing-masing ada pendirian dan terpulang kepada beliau (Tun Mahathir) menentukan kedudukan partinya.

"Sebenarnya dalam politik itulah hakikatnya tak setuju orang itu, tak setuju orang ini..tak tahu khemah mana yang dia hendak pakai, kita serah pada dia (Tun)," katanya.