Kabel dasar laut Sabah, Sarawak keutamaan K-KOMM

Annuar menerima cenderahati daripada Yakub pada Majlis Makan Malam sempena mesyuarat Majlis Ekonomi Digital, Industri Kreatif dan Komunikasi (MEDIKK), di Kota Kinabalu.
Annuar menerima cenderahati daripada Yakub pada Majlis Makan Malam sempena mesyuarat Majlis Ekonomi Digital, Industri Kreatif dan Komunikasi (MEDIKK), di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Persiapan untuk Sabah dan Sarawak menjadi sebahagian daripada rangkaian telekomunikasi utama termasuk pembinaan rangkaian kabel dasar laut antara perkara yang menjadi perhatian Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, keutamaan juga termasuk membabitkan pembentukan pusat data dan ia antara perkara yang dibincangkan dengan pelabur di Singapura baru-baru ini.

"Kabel dasar laut terkait dengan rangkaian kabel dasar laut antara benua, antara negara-negara dan sekarang ini kita mendapati kedudukan negeri-negeri di Borneo dijangka sedang mengalami suatu perubahan positif berikutan Indonesia yang memindahkan ibu negaranya ke Borneo dan tumpuan kerajaan kita sendiri adalah untuk pembangunan wilayah Sabah dan Sarawak.

"Dua hari lalu saya ada pertemuan dengan Menteri Komunikasi Brunei dan Indonesia di Singapura bahawa kita semua bersepakat dan bersetuju bahawa Borneo dan negeri-negeri termasuk Sabah, Sarawak, Kalimantan (Indonesia), Brunei dan juga Labuan akan menjadi satu kawasan strategik di masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam sempena mesyuarat Majlis Ekonomi Digital, Industri Kreatif dan Komunikasi (MEDIKK), di sini, pada malam Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan berhubung harapannya supaya satu kabel dasar laut dapat dipertimbangkan bagi memastikan kesalinghubungan yang mantap, konsisten dan berdaya saing di Sabah.

Jelasnya lagi, perancangan berhubung kabel dasar laut itu dibahagikan kepada dua jenis iaitu membabitkan rangkaian antara dalam negara dan juga laluan melibatkan rentas benua.

"Satu, yang menyambung dengan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak iaitu secara dalamannya melibatkan syarikat tempatan selain Sabah dan Sarawak berada pada posisi untuk menjadi laluan jaringan kabel dasar laut yang melibatkan rentas benua atau negara.

"Kita telah pun mendapat sekurang-kurangnya dua 'inquiries' daripada syarikat antarabangsa yang besar dan sedang membuat kajian terakhir mereka untuk membina rangkaian kabel dasar laut dari Malaysia dan merentasi Laut China Selatan sehingga ke Utara Jepun dan negara Amerika.

"Jadi ini perkembangan yang saya rasa ia akan melibatkan Sabah," katanya.