Polis pantau gambar, video di 'Jalan New Zealand'

Gambar suasana di Jalan Temiang-Pantai yang mendapat jolokan Jalan New Zealand Malaysia. Foto: sumber internet, gambar kecil: Shafiei Muhammad
Gambar suasana di Jalan Temiang-Pantai yang mendapat jolokan Jalan New Zealand Malaysia. Foto: sumber internet, gambar kecil: Shafiei Muhammad
A
A
A

SEREMBAN - 'Jaga-jaga anda diperhatikan'. Itu peringatan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superitendan Shafiei Muhammad kepada orang ramai yang memuat naik gambar atau video di Jalan Temiang-Pantai di sini di media sosial.

Beliau menegaskan, polis juga akan terus melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa di laluan itu yang diberi jolokan 'Jalan New Zealand Malaysia'.

Menurutnya, berada di situ untuk mengambil gambar dan merakam video tidak menjadi kesalahan tetapi jangan berhenti di lorong kecemasan dan di bahu jalan kerana boleh mengundang bahaya.

"Bila gambar itu tersebar, bersedialah untuk disiasat dan diambil tindakan. Jadi jangan terlalu teruja muat naiknya di media sosial.

"Banyak tindakan yang diambil sebelum ini pun berdasarkan gambar atau video yang tular di media sosial," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Shafie berkata, beliau tidak menafikan masih ada masyarakat yang tidak mengendahkan arahan polis untuk tidak memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan dan di bahu jalan di laluan itu.

"Awal tahun ini kita sudah berbincang dengan Jabatan Kerja Raya untuk meletakkan papan tanda amaran keselamatan di situ.

"Jadi saya sangat berharap masyarakat memahami laluan itu bukan kawasan untuk berhenti beristirahat dan mengambil gambar," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kerajaan negeri akan memohon kepada kerajaan pusat supaya satu kawasan tempat letak kereta bersesuaian diwujudkan di Lebuhraya Temiang-Pantai, dekat sini yang kini menjadi tumpuan ramai.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, lokasi itu yang kini mendapat jolokan 'New Zealand' menarik perhatian ramai sehingga mencetuskan kebimbangan dari aspek keselamatan apabila terdapat aktiviti 'bersantai' di lorong kecemasan laluan itu.