Asyraf Wajdi dicabar berdemo di Parlimen

Muzzammil Ismail
Muzzammil Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Exco Armada, Muzzammil Ismail, mencabar Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersama rakan UMNO, Pas dan badan bukan kerajaan (NGO), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berdemo di hadapan Parlimen berkaitan isu syarikat yang menguruskan aset Tabung Haji (TH) dikepalai individu berbangsa Cina.

Menurut Muzzammil, kewibawaan pimpinan blok pembangkang terlalu rendah dan ghairah bermain api emosi sehingga menimbulkan rasis.

"Mereka prejudis bahawa orang Cina tidak berhak menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekerja dengan pengerusi serta ahli lembaga pengarah yang semuanya Melayu-Islam berkelayakan.

"Buktinya, kesemua Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Tujuan Khas (SPV) Urusharta Jamaah Sdn Bhd dan Prokhas Sdn Bhd adalah Muslim dan Melayu termasuk Pengerusi Prokhas, Datuk Muhamad Salleh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian, bagi membidas kenyataan sentimen berbaur perkauman daripada Asyraf yang mempersoalkan penjualan dan pemindahan aset TH kepada SPV diuruskan sepenuhnya Prokhas yang mana CEO syarikat berkenaan, Chen Yin Heng adalah berbangsa Cina.

"SPV dan Prokhas diletakkan di bawah Kementerian Kewangan yang berfungsi menyusun dan melakukan penstrukturan semula bagi mengatasi masalah pinjaman tidak berbayar (NPL) yang membelenggu TH.

"Justeru, jika ada agenda menjual aset TH kepada pihak ketiga ia perlu diputuskan oleh kerajaan, bukannya Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) atau Chen Yin Heng, apatah lagi membabitkan aset strategik," ujarnya.

Dalam pada itu, Muzzamil juga memberitahu, CEO tidak boleh memutuskan segala perjalanan, polisi, tindakan dan keputusan syarikat kerana perkara itu hanya boleh dilakukan Lembaga Pengarah Syarikat seperti mana kuasa diperuntukkan di bawah Akta Syarikat dan Memorandum of Articles.

Artikel Berkaitan:

"Barisan pimpinan UMNO dan Pas serta badan bukan kerajaan (NGO), Isma sedikit pun tidak rasa bersalah mengeluarkan kenyataan hasutan berhubung isu ini.

"Politik hasutan nampaknya semakin hari semakin kritikal. Tiada salahnya kerajaan menjadi autokratik atau dilabel diktator sekalipun dalam usaha mengekang budaya ini kerana kebebasan media atau bersuara telah disalahguna," tegasnya