20 suspek ditahan bantu siasatan cubaan bunuh Pengarah PHEB

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Seramai 20 suspek ditahan sepanjang siasatan berhubung kes serang dan tetak membabitkan Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), Datuk M Ramachandran dalam kejadian pada tahun lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, jumlah itu termasuk dua lelaki yang baharu ditahan pada 26 Mei lalu.

Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 27 dan 48 tahun ditahan di sebuah hotel di negeri ini pada jam 2.15 pagi.

"Polis merampas sebuah kereta jenis Hyundai Sonata berwarna hitam yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.

"Susulan penahanan dua lelaki tersebut, polis sedang mengesan seorang lelaki bernama, S Dinish, 22, yang beralamat terakhir di Taman Semenyih Impian, Selangor, bagi membantu siasatan," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Khamis.

Mohd Shuhaily berkata, sepanjang siasatan kes tersebut selain dua lelaki yang baharu ditahan, polis menahan 16 lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 22 hingga 53 tahun untuk membantu siasatan.

"Kesemua yang ditahan mempunyai pelbagai rekod lampau melibatkan dadah dan jenayah.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Sebelum ini, polis Pulau Pinang menafikan dakwaan beberapa pihak bahawa telah menutup kes melibatkan kes cubaan membunuh Ramachandran.

Ramachandran, 70, parah ditetak sekumpulan individu dalam satu kejadian di hadapan kediamannya di Taman Alma, Machang Bubok, Bukit Mertajam pada malam 24 Julai tahun lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian leher, paha, belakang kepala serta badan akibat diserang dengan senjata tajam.

Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa sedang turun dari kereta untuk masuk ke dalam rumahnya sebelum diserang oleh empat orang lelaki.