Annuar perjelas sebab tidak bangun semasa ucapan Pengerusi BN

Annuar ketika menghadiri Majlis Konvensyen BN pada Rabu. Sumber foto: Facebook Tan Sri Annuar Musa
Annuar ketika menghadiri Majlis Konvensyen BN pada Rabu. Sumber foto: Facebook Tan Sri Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Bahagian UMNO Ketereh, Tan Sri Annuar Musa pada Khamis menjelaskan kontroversi tindakannya tidak berdiri bersama pimpinan lain sebagai tanda sokongan semasa ucapan Pengerusi Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Konvensyen BN pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkongsi perkara itu melalui Facebook yang perbuatan itu merupakan perkara biasa.

Menurutnya, tindakan itu bukan satu bantahan terhadap isu yang dinyatakan Ahmad Zahid berkaitan keperluan menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Tadi (pada Rabu) Pengerusi BN bertanya pada khalayak, bila mereka mahu PRU diadakan. Kemudian disuruh berdiri. Saya perhatikan ramai terpinga-pinga, ramai juga yg spontan berdiri. Ada yg tunggu nak tengok kawan berdiri atau tidak.

“Ada yg berdiri tapi memberitahu pendirian yang berbeza. Biasalah dalam situasi yang begitu.

"Saya setuju PRU disegerakan sebaik sahaja BN benar-benar sudah siap siaga.

“Tapi saya tidak pun berdiri. Saya tidak perlu berdiri hanya kerana orang lain berdiri, atau kerana segan, tak tergamak, kerana disuruh berdiri dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh pada Khamis menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan Annuar yang didakwa menggelar ahli BN yang berdiri semasa ucapan Ahmad Zahid dan menyokong PRU diadakan pada tahun ini sebagai penakut.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, BN perlu berhati-hati dalam perhitungannya bagi melaksanakan PRU15 dan tarikh pilihan raya perlu dirahsiakan.

Katanya, BN juga seharusnya lebih jujur berkenaan tahap persediaannya untuk menghadapi PRU supaya tidak memberikan kesan buruk terhadap gabungan tersebut.

“Pengalaman saya banyak menyaksikan yang didakwa yakin menang, akhirnya kalah, yang dikata’ready’ sebenarnya belum 'ready', yang kononnya ada dana, kehabisan dana selepas beberapa hari kempen bermula, yang dikata ramai ‘putih’ akhirnya ‘hitam’ dan sebagainya.

“Saya berpegang pada prinsip.Tarikh pilihan raya adalah senjata parti yg sedang memerintah...BN. Ia perlu dibincang tertutup. Sementara itu kita perlu jujur. Kalau sudah ‘ready’ kata ready.

“Tapi kalau kerja pun belum buat, dana belum tersedia, data belum terurus,jentera belum terlatih, tapi kita mendakwa kita sudah ‘ready’, itu menolak ikhtiar namanya,” ujarnya.