Depp menang saman fitnah jutaan dolar ke atas bekas isteri

Johnny Depp (kiri) dan bekas isterinya, Amber Heard. - Foto AP
Johnny Depp (kiri) dan bekas isterinya, Amber Heard. - Foto AP
A
A
A

FAIRFAX - Pelakon filem terkenal Hollywood, Johnny Depp menang saman fitnah ke atas bekas isterinya, Amber Heard yang juga seorang aktres di sebuah mahkamah di Fairfax, Virginia pada Rabu.

Berikutan kemenangan itu, pihak juri memberikan ganti rugi kepada Depp sebanyak AS$15 juta (RM65.89 juta).

Namun, pihak juri juga menganugerahkan Heard sebanyak AS$2 juta ( RM8.79 juta) untuk satu bahagian tuntutan balas undang-undang terhadap dakwaan peguam Depp.

Peguam Depp sebelum ini menyatakan dakwaan penderaan ke atas Heard itu sebagai satu penipuan.

Depp, 58, menyaman Heard, 36, sebanyak AS$50 juta (RM219.63 juta) selepas bekas isterinya itu menulis artikel untuk akhbar The Washington Post pada tahun 2018 yang menggelarkan aktor tersebut sebagai tokoh awam yang mewakili penderaan domestik.

Bagaimanapun, Heard tidak menamakan Deep dalam artikelnya.

Ekoran saman aktor itu, Heard turut menyaman balas Depp sebanyak AS$100 juta (RM439.25 juta).

Perbicaraan kes yang bermula April lalu itu melibatkan masa lebih enam minggu dengan pihak juri mendengar keterangan daripada beberapa saksi termasuk rakan pasangan itu, pakar psikiatri, pakar bedah dan pelakon itu sendiri.

Depp yang terkenal dalam filem 'Pirates of the Caribbean' juga merupakan produser dan ahli muzik manakala Heard pernah berlakon dalam filem 'Drive Angry'. - Agensi