BN perlu pasti kekal relevan untuk kembali tadbir kerajaan

Mohd Zaidy
Mohd Zaidy
A
A
A

SEREMBAN - Barisan Nasional (BN) perlu menjadi juara dalam mengangkat masalah rakyat supaya kekal relevan dan kembali mengambil alih kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, membantu rakyat merupakan

tunjang perjuangan BN.

"Rakyat hari ini sedar bahawa tiada parti yang mampu mentadbir kerajaan sebaik BN," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan ahli parti supaya tidak terlalu yakin dengan reputasi yang ada sekarang dan terus bekerja dengan kuat.

Tambah beliau, paling penting ialah memastikan rakyat tidak lagi tersalah pilih kerajaan pada pilihan raya akan datang.

"Pejuang kemerdekaan mewariskan kepada kita sebuah negara yang aman dan pelbagai kaum.

"Jangan pula dirosakkan dan tiba giliran kita pula untuk memastikan negara ini diwariskan dalam keadaan baik kepada generasi akan datang. Caranya perlu pastikan BN terus menjadi pentadbir kerajaan," katanya.

Ujarnya, selepas PRU14 yang boleh dianggap sebagai tragedi demokrasi negara, rakyat berhak mendapatkan semula sebuah kerajaan yang stabil dan ditadbir dengan baik.

"Peluang telah diberikan kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir kerajaan dan mereka telah sia-siakan begitu sahaja," katanya.