Jubli Platinum Ratu Elizabeth II dirai di UK, Malaysia

Ratu Elizabeth II. - Foto AFP
Ratu Elizabeth II. - Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - United Kingdom (UK) akan mengadakan sambutan Jubli Platinum Ratu Elizabeth II dan Ulang Tahun baginda yang ke-96 pada Jun.

Menurut Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur, sambutan rasmi di UK yang berlangsung pada 2 Jun diserikan dengan pelbagai acara termasuk perarakan Trooping the Color dan tentera berkuda, konsert, pesta serta pertandingan ratu cantik.

Di seluruh UK, lebih 70,000 telah mendaftar untuk menganjurkan Big Jubilee Lunch di rumah dan dewan orang ramai pada hujung minggu, manakala lebih 10 juta rakyat dijangka menyertai sambutan itu.

Di Malaysia, Rotary Malaysia District 3300 akan menganjurkan majlis makan malam pada 2 Jun bagi menyalakan suar Jubli Platinum (Platinum Jubilee Beacon), satu penghormatan kepada pemerintahan serta perkhidmatan baginda Ratu selama 70 tahun.

"Suar Jubli Platinum di sini menjadi sebahagian daripada 2,800 suar Jubli Platinum yang akan dinyalakan di seluruh dunia," menurut kenyataan itu pada Rabu.

Persatuan British Malaysia turut menganjurkan Hari Golf Amal Jubli Platinum, dan angkatan tentera British yang berpangkalan di Pangkalan Udara Butterworth akan mengadakan pesta bersama kakitangan dan keluarga dari seluruh negara anggota Five Power Defence Arrangements.

Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi British juga akan menganjurkan majlis resepsi akhir bulan ini.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay juga akan menanam pokok di Kediaman Pesuruhjaya Tinggi, sebagai sebahagian daripada inisiatif Kanopi Hijau Ratu bagi mencipta warisan fizikal sempena sambutan itu.

Ratu Elizabeth II pernah berkunjung ke Malaysia sebanyak tiga kali -- lawatan sulung pada 1972, menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Langkawi pada 1989, dan menghadiri penutupan Sukan Komanwel XVI pada 1998.

Pada 6 Februari 2022, Ratu Elizabeth II menjadi raja British pertama yang melangkaui jubli platinum, bermaksud 70 tahun di atas takhta. - Bernama