KPDNHEP tumpas sindiket seleweng diesel bersubsidi

A
A
A

KUALA PILAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kuala Pilah dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Jempol menumpaskan sindiket cubaan menyeleweng minyak diesel bersubsidi.

Ketua Cawangan Pejabat KPDNHEP Cawangan Kuala Pilah, Ahmad Khuzairi Salamat berkata, dua lelaki warga tempatan berusia 54 tahun dan 55 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Sebuah lori tangki dalam keadaan mencurigakan sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Jalan Bahau-Mahsan, pada Isnin jam 11.45 malam.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, sebanyak 3,600 liter minyak diesel di dalam lori terbabit yang didapati diubah suai pada bahagian tangki asal dengan memasang sebuah pam khas," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Menurutnya, KPDNHEP menyita lori terbabit dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM43,740.

"KPDNHEP memberi amaran keras kepada pengusaha stesen minyak di sekitar Kuala Pilah dan Jempol agar mematuhi perundangan dan tidak berkompromi dengan mana – mana pihak bagi tujuan penyelewengan," katanya.

Tegas Ahmad Khuzairi, tindakan akan diambil dengan menggantung sementara lesen stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan minyak diesel bersubsidi boleh menyalurkan aduan lengkap kepada pihak kementerian melalui WhatsApp: 019-2794317 (aduan pengguna ), portal aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my, call centre 1-800-886-800.