156 pelajar, mahasiswa terima biasiswa KPMG

Seramai 156 penerima dianugerahkan biasiswa di bawah Tabung Amanah Pendidikan KPMG sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan KPMG. - Foto 123rf
Seramai 156 penerima dianugerahkan biasiswa di bawah Tabung Amanah Pendidikan KPMG sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan KPMG. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 156 penerima dianugerahkan biasiswa di bawah Tabung Amanah Pendidikan KPMG sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan KPMG di Malaysia untuk memperjuangkan pembelajaran sepanjang hayat dan memperkasakan pendidikan berkualiti untuk golongan B40 dan bakat muda di seluruh negara.

Rakan Pengurusan KPMG Malaysia dan Pengerusi tabung amanah itu, Datuk Johan Idris berkata, KPMG berbesar hati menawarkan sokongan kewangan dan pembangunan akademik kepada penerima yang berjaya ini dan berhasrat untuk membantu mereka mencapai potensi penuh untuk menjadi pemimpin generasi akan datang.

"Pengalaman pandemik selama dua tahun menjadi penyelarasan semula di peringkat global, yang mengingatkan kita untuk fokus kepada perkara penting. Akses kepada pendidikan berkualiti boleh memberi kesan kepada pembangunan ekonomi dan pembinaan kapasiti negara kita.

"Menerusi tabung amanah ini, kami ingin memberikan kepada mereka yang memerlukan, peluang untuk belajar dan berkembang supaya mereka dapat memiliki keupayaan mewujudkan impak positif berpanjangan ke arah lebih baik,” katanya pada majlis penganugerahan itu yang diadakan baru-baru ini.

KPMG dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan tabung amanah itu dibiayai oleh rakan-rakan KPMG di Malaysia dan komited untuk mengagihkan sehingga RM500,000 setahun menerusi empat tajaan dan program biasiswa iaitu KPMG Young Spark, KPMG Young Star, KPMG Young Excellence dan KPMG ASEAN Scholarship.

Program KPMG ASEAN Scholarship diteruskan dengan menganugerahkan sembilan mahasiswa dalam kohort 2022 dari Universiti Multimedia, Taylor’s University, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA, Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Tun Abdul Razak.

Setiap pelajar menerima geran biasiswa tahunan sebanyak RM12,000 bagi setiap tahun akademik, peluang penempatan latihan, bimbingan oleh pemimpin KPMG dan jaminan peluang pekerjaan dengan KPMG di Malaysia sebaik tamat pengajian.

Menurut KPMG, 125 pelajar daripada komuniti B40 yang bersekolah di sekolah kebangsaan dan menengah terpilih sebagai penerima dana KPMG Young Spark tahun ini, tajaan itu meliputi bantuan kewangan sebanyak RM750 bagi setiap pelajar sekolah rendah dan RM1,000 untuk pelajar sekolah menengah.

Sekolah terpilih di lima negeri yang menyertai program itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Convent 1 Bukit Nanas di Kuala Lumpur, SK Taman Sri Muda dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Kamaruddin di Selangor.

Sekolah lain ialah SMK Permas Jaya 2 di Johor; SK St Anne’s Convent, Labuan; SMK Limbanak, Sabah, serta Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Tudan dan SMK Sungai Tapang, Sarawak.

"Selain itu, pembangunan akademik 16 pelajar daripada golongan B40 yang belajar di kolej dan universiti awam tempatan disokong di bawah program KPMG Young Star, dengan setiap penerima mendapat bantuan kewangan ‘one-off’ berjumlah RM4,000 sebagai sumbangan ke arah kejayaan akademik mereka.

"Majlis penganugerahan itu juga menyerahkan tajaan kepada enam anak kakitangan KPMG di beberapa pejabat cawangan di bawah program KPMG Young Excellence. Program ini termasuk bantuan kewangan ‘one-off’ sebanyak RM2,500 bagi setiap penerima,” menurut kenyataan itu.

Tabung amanah itu diselaraskan dengan kategori Kemakmuran dalam KPMG Impact Plan global, yang menyasarkan untuk memacu amalan perniagaan yang bermatlamat dan warga korporat yang baik. Untuk keterangan lanjut sila layari www.kpmg.com.my/EducationTrustFund. - Bernama