Isu sekuriti makanan merisaukan rakyat

Peperangan yang tercetus di antara Russia dan Ukraine menyebabkan rantaian bekalan perdagangan antarabangsa terjejas dan harga pelbagai komoditi dunia meningkat. - Gambar hiasan
Peperangan yang tercetus di antara Russia dan Ukraine menyebabkan rantaian bekalan perdagangan antarabangsa terjejas dan harga pelbagai komoditi dunia meningkat. - Gambar hiasan
A
A
A

DUNIA telah di kejutkan oleh peperangan yang tercetus di antara Russia dan Ukraine, akibatnya, rantaian bekalan perdagangan antarabangsa terjejas dan harga pelbagai komoditi dunia meningkat.

Dua negara ini merupakan pengeluar utama dunia untuk komoditi seperti gandum, jagung dan minyak bunga matahari. Oleh yang demikian, industri sampingan yang bergantung kepada komoditi berkenaan juga terkesan, termasuklah industri bekalan makanan.

Malaysia juga tidak terkecuali daripada isu global ini. Harga makanan telah meningkat. Jabatan Perangkaan Malaysia telah melaporkan bahawa inflasi makanan untuk April 2022 meningkat lebih tinggi pada 4.1 peratus, dengan 89.1 peratus item makanan bagi kumpulan makanan dan minuman telah merekodkan kenaikan.

Dari satu sudut, peningkatan harga makanan berlaku kerana harga input pertanian seperti baja, racun dan makanan haiwan ternakan telah meningkat tinggi, hinggakan ada yang telah melebihi 100 peratus peningkatan.

Tambahan lagi, bekalan makanan juga terjejas, termasuklah ayam dan ikan. Media ada melaporkan bahawa pendaratan ikan terutamanya di utara Semenanjung Malaysia telah berkurangan sebanyak 70 peratus sejak beberapa bulan yang lepas.

Kesan isu global ini dirasai oleh rakyat kerana Malaysia amat bergantung kepada import makanan untuk memenuhi keperluan makanan domestik.

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2020, jumlah import makanan Malaysia ialah RM55.5 billion, berbanding eksport makanan RM33.8 billion, menyebabkan defisit perdagangan makanan yang besar (RM21.7 billion ataupun 64 peratus dari eksport makanan).

Lebih membimbangkan ialah peningkatan yang lebih pantas import berbanding eksport telah menyebabkan defisit perdagangan produk makanan negara meningkat 24.9 peratus berbanding tahun 2019.

Oleh yang demikian, kebergantungan tinggi kepada import makanan ini bermakna Malaysia akan terus terkesan dengan situasi bekalan makanan antarabangsa untuk jangka masa panjang. Penyusutan nilai ringgit ketika ini memburukkan lagi situasi.

Adakah rakyat Malaysia mampu hidup selesa dengan kos sara hidup yang terus meningkat? Sudah pasti tidak. Majoriti rakyat Malaysia tidak mampu hidup selesa untuk jangka masa panjang memandangkan skala gaji di Malaysia masih rendah, walaupun kadar Gaji Minimum telah dinaikkan kepada RM1,500 sebulan bermula 1 Mei.

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020 mendapati bahawa 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 telah beralih kepada kumpulan B40 akibat kehilangan pekerjaan dan potongan gaji. Ini bermakna lebih ramai rakyat Malaysia kini tergolong di dalam kategori miskin!

Untuk memulihkan ekonomi negara akibat pandemik Covid-19 serta menangani isu sekuriti makanan, kerajaan mesti bertindak pantas dengan menyediakan polisi serta pelaksanaan yang mesra pelabur, domestik dan juga luar negara.

Ekonomi negara seharusnya di terajui oleh pelaburan swasta yang dapat menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat, dan tidak lagi terlalu bergantung kepada perbelanjaan awam. Kerajaan juga mesti mengurangkan penglibatan langsung di dalam perniagaan.

Persoalan sekarang ialah apakah pelan kerajaan untuk menangani isu sekuriti makanan negara untuk masa terdekat dan jangka masa panjang?

Kebergantungan tinggi terhadap import makanan serta peningkatan import makanan setiap tahun membuktikan bahawa dasar yang lepas dan sedia ada telah gagal.

Sehingga kini, rakyat masih kabur dan keliru dengan dasar semasa, dan gusar sama ada kerajaan ini berkelayakan untuk menyelesaikan isu ini.

Kegagalan menangani isu sekuriti makanan boleh menjejaskan ketenteraman awam, seperti yang telah berlaku di beberapa negara seperti - Sri Lanka dan Pakistan.