Berita padat, pengisian mampat, masih paling murah di pasaran

Sinar Harian melakukan satu lagi perubahan besar untuk keselesaan pembaca.
Sinar Harian melakukan satu lagi perubahan besar untuk keselesaan pembaca.
A
A
A

TANGGAL 1 Jun 2022 menjadi satu lagi tarikh penting untuk akhbar ini.

Menjelang tahun ke-16 penubuhannya, akhbar ini melakukan satu lagi perubahan besar untuk keselesaan pembaca dan memastikan survival akhbar ini dalam media arus perdana.

Mulai hari ini, pembaca di seluruh negara akan merasai pengalaman pagi sambil meneguk segelas air kopi dengan lebih berbeza dan menyeronokkan.

Ini kerana mulai hari ini, Sinar Harian telah melakukan penambahbaikan dengan memperkenalkan reka bentuk dan pengisian baharu.

Dengan tagline Akhbar Arus Perdana Paling Diyakini, Sinar Harian bakal terus memberi penekanan kepada berita-berita terbaik dan eksklusif untuk tatapan pembaca - hanya di Sinar Harian.

Kami bukan sahaja akan memberikan perspektif baharu kepada berita yang sudah dilaporkan di online tetapi akan cuba untuk mengupasnya secara lebih kritis dan mendalam.

Anda perlu terus membeli dan membaca Sinar Harian setiap hari, kerana falsafah kami karyawan Sinar Harian ialah untuk menyajikan berita-berita dari perspektif yang berbeza.

Keberanian Sinar Harian ialah menyuarakan isi hati rakyat dan mendengar degup nadi rakyat.

Sebagai akhbar yang paling dekat menyelami isu-isu rakyat, Sinar Harian wajah baharu akan menyediakan ruangan-ruangan khas dan lebih interaktif kepada pembaca.

Antaranya kami akan memperkenalkan ruangan seperti Keluhan@Sinar dan Pendapat@Sinar yang akan membuka ruang lebih banyak kepada pembaca untuk berkongsi dan menyatakan permasalahan, isu komuniti dan pendapat mereka.

Tidak ketinggalan, kami akan turut menyediakan berita-berita bertemakan inspirasi. Kami berharap berita dan artikel seperti ini akan dapat menyuntik semangat baharu pada awal pagi dan membawa mesej positif kepada pembaca.

Rekaan segar

Dari segi rekaan, kami melakukan perubahan 360 darjah untuk wajah baharu akhbar ini. Bermula dari muka depan, kami cuba memberikan ‘imej’ berbeza daripada biasa agar rekaan akhbar ini sentiasa kelihatan segar dan mudah dibaca.

Di bahagian dalam akhbar, pembaca akan dapat menikmati pengalaman sedap untuk tatapan mata dengan lebih bahan dalam bentuk info grafik.

Kami juga berpegang kepada kata-kata, ‘Sekeping gambar boleh membawa seribu makna’. Lantas kami akan menggunakan foto-foto terbaik untuk setiap berita sama ada berita nasional, sukan, luar negara dan berita wilayah.

Peluang menang RM50,000

Tidak ketinggalan, khusus buat pembaca setia Sinar Harian, tahun ini kami turut menganjurkan Peraduan Kumpul dan Menang dengan tawaran hadiah keseluruhan berjumlah RM50,000.

Caranya mudah. Beli akhbar Sinar Harian, lengkapkan borang penyertaan dan kumpul kepala akhbar (masthead) Sinar Harian.

Kami berharap perubahan dan penambahbaikan akhbar Sinar Harian ini akan memberi kepuasan untuk setiap pembaca kami. Teruslah menyokong akhbar bahasa Melayu paling laris di Malaysia! Harga kami masih paling murah di pasaran.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan & Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian