PM bincang teroka potensi Micron tambah pelaburan di Malaysia

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa mengadakan perbincangan bagi meneroka potensi syarikat Micron menambah lagi pelaburan di Malaysia khususnya untuk segmen yang lebih maju dalam rantaian nilai semikonduktor.

Perbincangan itu dibuat ketika kunjungan delegasi Micron, yang diketuai Naib Presiden Eksekutif Operasi Globalnya iaitu Manish Bhatia, ke Putrajaya susulan lawatan kerja Ismail Sabri ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

"Alhamdulillah, pelabur-pelabur asing semakin yakin untuk terus melabur di Malaysia.

"Saya yakin lebih banyak syarikat asing akan terus menanam modal di Malaysia kerana iklim pelaburan yang masih dianggap salah satu terbaik di rantau ini,” menurutnya dalam kenyataan di laman Facebook.

Perdana Menteri berkata, Micron kini beroperasi di Malaysia dengan menggaji hampir 4,000 anak tempatan.

Dalam lawatan kerja beliau ke AS sebelum ini, Ismail Sabri bertemu pegawai-pegawai kanan syarikat utama Amerika termasuk Microsoft, Google, Tesla, Boeing, IBM, Texas Instruments, GE Aviation, Conoco Phillips, Ford, National Instruments, Infineon, Micron dan Insule. - Bernama