BSMM sumbang 1,000 beg makanan kepada pesakit HTA, HKL

Sumbangan beg makanan yang diserahkan oleh Tunku Puteri Intan Safinaz di Wad Kanak-kanak.
Sumbangan beg makanan yang diserahkan oleh Tunku Puteri Intan Safinaz di Wad Kanak-kanak.
A
A
A

SHAH ALAM - Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) menyerahkan sumbangan beg makanan kepada 1,000 pesakit di wad Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Tunku Azizah (HTA) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin.

Pengerusi Kebangsaan BSMM, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah berkata, sebanyak 500 beg makanan disumbangkan kepada pesakit di wad-wad HTA, manakala 500 lagi disumbangkan kepada pesakit di HKL.

Program sumbangan itu merupakan projek BSMM bersama Zurich Takaful sempena sambutan Hari Bulan Sabit dan Palang Merah Sedunia yang bertemakan #BeHumanKIND dan juga perayaan Aidilfitri yang diraikan pada bulan Mei tahun ini.

“Selaras dengan tema ini, kami BSMM sebagai organisasi kemanusiaan sedaya upaya membantu masyarakat yang memerlukan bantuan tidak kira di mana ataupun pada bila-bila masa tanpa mengira darjat, bangsa atau agama,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Tunku Puteri Intan Safinaz berharap agar BSMM, HTA dan HKL dapat berkolaborasi membantu pesakit-pesakit di hospital mengurangkan tekanan, kesunyian dan menyuntik semangat mereka ketika berada di hospital.

Selain itu, beliau turut menekankan fungsi pasukan sukarelawan Pasukan Sokongan Psiko Sosial dan Kesihatan Mental BSMM yang giat membantu meringankan beban trauma mangsa Covid-19, banjir dan lain-lain bencana.

“HKL juga merupakan penyelia bagi program Hotspot BSMM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang merupakan projek kolaborasi antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta BSMM dan St John Ambulans Malaysia,” ujarnya.