Lebih 80km paip sudah diganti baharu

Ahmad (dua dari kanan) melawat Loji Rawatan Air (LRA) Ketereh, Kota Bharu pada Selasa.
Ahmad (dua dari kanan) melawat Loji Rawatan Air (LRA) Ketereh, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) setakat ini berjaya menukar paip baharu sepanjang 87 kilometer (km) membabitkan daerah Tumpat, Gua Musang dan Kota Bharu sebagai usaha meningkatkan kualiti dan bekalan air di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, projek penukaran paip di seluruh negeri itu mula dilaksanakan pada tahun 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2030.

“Projek dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan pelan Induk AKSB 2021-2030. Paip yang sudah berjaya ditukar sejak tahun 2021 adalah sepanjang 87km melibatkan daerah Tumpat, Gua Musang dan Kota Bharu.

“Pada tahun ini, paip lama dan uzur yang ditukar adalah sepanjang 340km melibatkan daerah Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Kuala Krai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Ketereh di sini, pada Selasa.

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob

Turut hadir, Pengurus Besar AKSB, Datuk Ir Dr Azuhan Mohamed.

Ahmad berkata, projek penukaran paip lama dan uzur kepada paip baharu tersebut dapat mengatasi masalah air di kawasan-kawasan yang terlibat.

“AKSB berjaya meningkatkan tekanan air, mengatasi isu kebocoran paip air dan mengurangkan gangguan bekalan air.

Artikel Berkaitan:

“Kawasan-kawasan itu termasuk di Dusun Muda, Tanjung Chat, Kota Bharu dan Jalan Kelaboran sehingga Chabang Neting di Tumpat,” katanya.

Tambahnya, pihak Pengurusan Aset Air Berhad ketika ini dalam proses pelantikan perunding untuk melaksanakan projek penukaran paip melibatkan seluruh jajahan Bachok.

“Projek membabitkan paip sepanjang 220km yang dijangka mula dilaksanakan pada tahun 2023.

“Perkara yang penting adalah kita utama dahulu kawasan-kawasan yang mempunyai permasalahan air,” katanya.