Sri Lanka bincang pinjaman baharu bernilai AS$500 juta dengan India

No Image Caption
A
A
A

NEW DELHI - Sri Lanka sedang mengadakan perbincangan dengan India bagi mendapatkan bantuan baharu kredit bernilai AS$554 juta untuk menangani kekurangan bahan api kritikal pada Jun.

Menteri Tenaga Kanchana Wijesekera pada Isnin berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan gabenor Bank Pusat Sri Lanka (CBSL) Nandalal Weerasinghe bagi membincangkan keperluan pertukaran asing Ceylon Petroleum Corporation (CPC) yang dikendalikan kerajaan.

"Jumlah keperluan import pada bulan Jun adalah AS$554 juta.

"AS$100 juta akan disalurkan melalui saluran kredit India sedia ada," katanya dalam catatan di media sosial.

Wijesekera berkata, kemudahan kredit India bernilai AS$500 juta yang baharu sedang dibincangkan.

Sri Lanka, yang berdepan krisis ekonomi yang belum pernah berlaku sebelum ini, telah menerima sokongan kewangan daripada India dalam bentuk pinjaman fleksibel.

Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke India, Milinda Moragoda, pada Jumaat mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan India Nirmala Sitharaman untuk membincangkan bantuan lanjut.

Mesyuarat itu "meneroka kemungkinan menambah dan menyusun semula bantuan yang diberikan India dalam bentuk kredit untuk komoditi penting dan bahan api serta sokongan imbangan pembayaran," katanya dalam satu kenyataan.

Sri Lanka juga cuba mendapat bantuan kewangan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

IMF diketuai Peter Breuer dan Masahiro Nozaki minggu lalu telah mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa Sri Lanka.

Dalam kenyataannya selepas rundingan 9-24 Mei, IMF menzahirkan kebimbangan serius mengenai keadaan kewangan negara.

Perbincangan itu meliputi "pakej pembaharuan yang komprehensif untuk memulihkan kestabilan makroekonomi dan kemampanan hutang".

IMF menyatakan sejak hutang Sri Lanka dinilai sebagai tidak mampan, kelulusan lembaga eksekutifnya bagi pakej Sri Lanka "memerlukan jaminan yang mencukupi bahawa kemampanan hutang akan dipulihkan." - Bernama