Thailand pantau penularan cacar monyet 12 individu

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

BANGKOK - Kementerian Kesihatan Awam Thailand memantau rapi 12 individu yang kini menjalani kuarantin, termasuk pramugari dan penumpang yang mungkin terdedah kepada seorang pesakit cacar monyet yang berada dalam transit di negara itu.

Pengarah Bahagian Epidemiologi Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Chakkarat Pitayawonganon berkata, penumpang itu berada di lapangan terbang di Bangkok sebelum menaiki penerbangan ke Australia di mana dia kemudiannya disahkan positif cacar monyet.

"Sehingga kini, kesemua 12 individu itu tidak menunjukkan sebarang gejala sejak tujuh hari lalu.

"Bagaimanapun, kami akan memantau dengan teliti untuk tempoh dua minggu lagi kerana tempoh inkubasi boleh mencecah hingga 21 hari,” katanya.

Beliau menambah kes yang disahkan itu mengalami simptom cacar monyet ketika berada di Australia.

Sementara itu, Dr Chakkarat berkata tiada kes cacar monyet dikesan di negaranya setakat ini dan lima kes disyaki cacar monyet di Phuket telah diuji negatif.

"Mereka dijangkiti virus herpes simplex (HSV) dan sedang menerima rawatan di Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pemuliharaan Taman Negara, Hidupan Liar dan Tumbuhan (DNP) telah meningkatkan saringan import hidupan liar di lapangan terbang dalam usaha membendung penularan cacar monyet.

Bangkok Post melaporkan bahawa DNP berusaha menyekat import haiwan liar sehingga langkah-langkah kawalan wabak cacar monyet dilaksanakan.

Pengarah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES), bahagian perlindungan haiwan liar dan tumbuhan, Prasert Sornsathapornkul berkata cacar monyet telah dimasukkan ke dalam senarai penyakit untuk pemeriksaan berkala ke atas monyet.

Kakitangan DNP diminta mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memakai sarung tangan dan alas kaki pelindung semasa melakukan pemeriksaan ke atas haiwan itu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) penularan wabak cacar monyet menimbulkan risiko sederhana kepada kesihatan awam global.

Sebanyak 257 kes telah disahkan dan 120 kes disyaki wabak itu telah dilaporkan dari 23 negara, setakat 26 Mei, menurut pertubuhan itu. - Bernama