Enakmen Anti Lompat Parti Pulau Pinang didengar 3 Ogos

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menetapkan 3 Ogos untuk mendengar permohonan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan speakernya berhubung enakmen Anti Lompat Parti negeri itu.

Peguam A Surendra Ananth ketika dihubungi mengesahkan tarikh pendengaran itu semasa pengurusan kes yang diadakan baru-baru ini.

Surendra berkata, beliau bercadang untuk menulis kepada mahkamah untuk meminta jumlah panel yang lebih ramai iaitu mungkin terdiri daripada tujuh atau sembilan hakim untuk mendengar kes itu.

Pada 12 April 2022, Pesuruhjaya Kehakiman Pulau Pinang, Azizan Md Arshad membenarkan permohonan DUN Pulau Pinang dan speakernya untuk merujuk persoalan kepada Mahkamah Persekutuan bagi membolehkan mahkamah itu mendengar dan memutuskan isu perlembagaan berkenaan enakmen anti lompat negeri itu.

DUN Pulau Pinang dan speaker mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak sah kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan berpersatuan.

Surendra dan peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mendapat fiat untuk bertindak mewakili DUN Pulau Pinang dan Speaker, Datuk Law Choo Kiang.

Empat ADUN iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam), dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) telah memfailkan tiga writ saman pada 2020 terhadap DUN dan Speakernya untuk mencabar usul yang diperkenalkan pada Oktober 2020 supaya mereka mengosongkan kerusi dan pilihan raya kecil yang akan diadakan.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

Pembentangan usul supaya keempat-empat mereka mengosongkan kerusi telah ditangguhkan sementara menunggu selesai saman mereka. - Bernama