Tiga kapal tangki pindah minyak secara haram ditahan

Tiga kapal tangki yang melakukan operasi pemindahan minyak secara haram di perairan Johor Timur, Kota Tinggi pada Ahad ditahan Maritim Malaysia.
Tiga kapal tangki yang melakukan operasi pemindahan minyak secara haram di perairan Johor Timur, Kota Tinggi pada Ahad ditahan Maritim Malaysia.
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor pada Ahad menahan tiga kapal tangki yang disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Johor Timur.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, ketiga-tiga kapal tangki itu ditahan di kedudukan 9.1 batu nautika timur Tanjung Siang, antara jam 12 tengah hari hingga 7 malam.

Katanya, operasi melibatkan sebuah pesawat udara milik Maritim Malaysia dan tujuh anggota Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia.

"Penahanan terpaksa dilakukan secara 'force boarding' oleh PasukanTindakan Khas Maritim Malaysia berikutan kedegilan kru kapal itu memberikan kerjasama untuk diperiksa penguat kuasa.

"Kapal tangki yang berdaftar dari Singapura, Malabo dan Monrovia itu dikendalikan 39 kru warga Indonesia, Singapura dan Rusia berumur di antara 24 hingga 62 tahun dan mempunyai pengenalan diri yang sah," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Menurut Nurul Hizam, kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K) bagi kesalahan melakukan aktiviti kapal ke kapal (STS) tanpa kebenaran dan 491B(1)(L) bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran.

"Jika didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Nakhoda ketiga-tiga kapal turut disiasat di bawah Sekyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM 10,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya bersalah," katanya.