Projek PIL 1: Pulau Pinang mohon lanjut tempoh sah laku EIA

Zairil
Zairil
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang telah memohon pelanjutan tempoh sah laku laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (ElA) bagi komponen Projek Lebuhraya Pan Island Link (PIL 1) yang diperoleh pada tahun 2019 daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, selain itu, Laporan Kajian Impak Sosial (SIA) bagi projek itu juga sedang dilaksanakan oleh pihak perunding.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang meneruskan usaha untuk memohon peruntukan daripada kerajaan persekutuan supaya pelaksanaan PIL 1 dapat dilaksanakan dengan kadar segera secara berfasa.

"Kerajaan negeri sedia maklum bantahan yang dikemukakan oleh penduduk di kawasan kediaman Jesselton khususnya berkaitan pembinaan PIL 1 di Persiaran Kuari.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri akan meneruskan usaha untuk menerangkan kepentingan komponen PIL1 secara keseluruhan dan langkah-langkah mitigasi yang akan diambil semasa proses pembinaan kepada pihak yang berkepentingan terutamanya penduduk yang tinggal berhampiran dengan jajaran lebuh raya tersebut," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 pada Isnin.

Zairil (DAP-Tanjung Bungah) berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Ong Khan Lee mengenai status terkini PIL 1.

Menurut beliau lagi, dalam masa sama, kerajaan negeri akan meneliti reka bentuk serta keperluan pembinaan akses ke jajaran Lebuhraya PIL 1 di kawasan Persiaran Kuari ketika fasa reka terperinci kelak.

Lebuhraya PIL 1 sepanjang 19.5 kilometer (km) merupakan salah satu komponen cadangan projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) oleh kerajaan negeri.

Lebuhraya PIL 1 adalah jajaran alternatif kepada Lebuhraya Tun Dr Lim Ching Eu yang akan menghubungkan kawasan utara bahagian pulau di kawasan Persiaran Gurney ke bahagian selatan pulau di kawasan Zon Perindustrian Bebas (FIZ).

Cadangan projek itu bagaimanapun mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat yang menyifatkan projek berkenaan tidak berkepentingan rakyat.

Dalam pada itu, Khan Lee (PKR- Kebun Bunga) turut menyoal mengenai status terkini terowong dasar laut yang juga merupakan sebahagian daripada PTMP.

Menjawab kepada soalan tersebut, Zairil berkata, syarikat konsesi, Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) telah mengemukakan draf akhir laporan kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut pada Disember 2020 kepada kerajaan negeri setelah diteliti oleh pihak jurutera perunding bebas (ICE) lantikan kerajaan negeri.

Katanya, draf akhir laporan tersebut diteliti oleh agensi-agensi kerajaan dan CZC untuk diintegrasi bersama pelan induk pembesaran Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP).

"Proses ini berlangsung dari Januari 2021 sehingga Mac tahun ini. Laporan kajian kebolehlaksanaan projek telah dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 6 April lalu yang mana, kerajaan negeri telah menerima hasil kajian laporan bahawa terowong dasar laut boleh dilaksanakan," katanya.

Bagaimanapun kata Zairil, peralihan ke fasa reka bentuk dan pembinaan adalah tertakluk kepada penyelesaian isu-isu berkaitan pengoperasian jajaran terowong bersama pelan induk pembesaran NBCT yang akan dimuktamadkan oleh SPPP.

Katanya lagi, buat masa ini, kerajaan negeri belum menetapkan sebarang keputusan untuk laporan kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut dijadikan sebagai rujukan awam.