Terbuka Perancis: Nadal, Djokovic buat perhitungan di suku akhir

Nadal (kiri) dan Djokovic bakal membuat perhitungan di suku akhir Terbuka Perancis.
Nadal (kiri) dan Djokovic bakal membuat perhitungan di suku akhir Terbuka Perancis.
A
A
A

PEMAIN Sepanyol, Rafael Nadal akan membuat perhitungan bersama pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic di peringkat suku akhir Terbuka Perancis pada Selasa selepas menewaskan wakil Kanada, Felix Auger-Aliassime di pusingan keempat.

Nadal yang juga juara 13 kali di Roland Garros bagaimanapun terpaksa bermandi peluh sebelum berjaya menewaskan Felix itu 3-6, 6-3, 6-2, 3-6, 6-3 dalam pertarungan yang berlangsung selama empat jam dan 21 minit.

“Kami sangat mengenali antara satu sama lain selain masing-masing banyak memiliki sejarah yang hebat.

“Apa yang boleh saya katakan untuk perlawanan menentang Djokovic, saya akan fokus dan cuba yang terbaik pada perlawanan itu,” katanya.

Untuk rekod, pertemuan di antara Nadal dan Djokovic merupakan yang ke-10 buat kedua-dua pemain itu di Roland Garros dan yang ke-59 sepanjang karier mereka.

Dalam pada itu, Djokovic menyifatkan aksi bertemu Nadal pada Selasa sebagai satu cabaran yang besar buat dirinya untuk mengekalkan kejuaraan Terbuka Perancis yang dimenanginya tahun lalu.

“Ia merupakan cabaran yang besar buat diri saya, mungkin perlawanan paling sengit akan dihadapi saya pada kejohanan ini.

“Apa-apa pun saya tidak sabar untuk bertemu Nadal dan bersedia untuk bertarung dengannya,” ujarnya.