Nenek rugi lebih setengah juta ringgit terjerat cinta doktor palsu

Seorang wanita warga emas kerugian sebanyak RM565,700 selepas terpedaya dengan sindiket Love Scam. Gambar kecil: Osman
Seorang wanita warga emas kerugian sebanyak RM565,700 selepas terpedaya dengan sindiket Love Scam. Gambar kecil: Osman
A
A
A

TAIPING - Seorang wanita warga emas berusia 68 tahun kerugian sebanyak RM565,700 selepas terpedaya dengan sindiket Love Scam.

Mangsa yang bekerja sebagai penjaga stor di sebuah kilang didapati menjalin hubungan cinta dengan seorang doktor yang berkhidmat di Iraq.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, mangsa telah berkenalan dengan lelaki itu sejak September tahun lalu menerusi Facebook.

Menurutnya, dalam perkenalan mereka, suspek memberitahu mangsa dia ingin pulang ke Miami, Florida, Amerika Syarikat.

"Suspek meminta bantuan mangsa memasukkan wang kepada pihak United Nation bagi menamatkan kontraknya sebagai doktor di Iraq.

"Suspek turut berjanji akan menyerahkan wang sebanyak RM5 juta sekiranya dia tiba di negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Osman berkata, siasatan mendapati mangsa hanya berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp dan tidak pernah berjumpa dalam tempoh tersebut.

"Mangsa bersetuju dan melakukan 69 transaksi ke 13 akaun bank berbeza milik suspek.

"Semua transaksi dilakukan melalui mesin di sebuah bank cawangan Taiping bermula pada 04 Oktober 2011 hingga 21 Mei lalu," katanya.

Katanya, mangsa menyedari ditipu telah membuat laporan polis pada Sabtu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.