Kanak-kanak lima tahun maut diserang harimau bintang

Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut diserang harimau bintang ketika memetik jagung bersama neneknya.- Gambar Hiasan
Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut diserang harimau bintang ketika memetik jagung bersama neneknya.- Gambar Hiasan
A
A
A

MAHARASHTRA - INDIA. Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut setelah diserang seekor harimau bintang ketika memetik jagung bersama neneknya.

Dalam kejadian sekitar jam 5 petang Ahad lalu, Shrutika Thit dan neneknya, Kusum Kaduskar berada di ladang jagung terletak di Kampung Sakori apabila seekor harimau bintang menerkam mangsa dan mengheretnya pergi.

Jeritan anak kecil itu menarik perhatian neneknya yang kemudian meminta pertolongan orang kampung yang berada berhampiran.

"Harimau tersebut mengheret Thit di bahagian leher dan apabila kami membaling batu, haiwan berkenaan melarikan diri dan meninggalkannya di tanah lapang," cerita seorang penduduk kampung bernama Vinod Modhave.

Thit segera dikejarkan ke sebuah hospital di Manchar, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Dalam pada itu, pihak renjer hutan memaklumkan seekor harimau bintang berjaya ditangkap awal pagi Isnin lalu setelah perangkap dipasang.

Januari lalu, seorang bayi berusia lima bulan turut maut akibat diserang harimau bintang di wilayah Yedgaon. - DAILYMAIL

Artikel Berkaitan: