Malaysia masih jadi pilihan Jepun untuk pelaburan

Tokoh perniagaan dan pelabur Jepun masih yakin dengan Malaysia sebagai hab dan destinasi pelaburan. - Foto 123RF
Tokoh perniagaan dan pelabur Jepun masih yakin dengan Malaysia sebagai hab dan destinasi pelaburan. - Foto 123RF
A
A
A

TOKYO - Tokoh perniagaan dan pelabur Jepun masih yakin dengan Malaysia sebagai hab dan destinasi pelaburan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, dalam sesi lawatan kerja rasminya, beliau telah mengadakan sesi libat urus dan ramah mesra bersama hampir 30 syarikat terkemuka Jepun di mana mereka menyatakan hasrat untuk meneroka peluang perdagangan dan meningkatkan pelaburan di Malaysia.

Menurutnya, terdapat sebuah syarikat Jepun yang berminat dan telah mengenal pasti lokasi bagi memulakan operasinya di Malaysia untuk mengeluarkan kanta lekap bagi pasaran serantau.

Beliau berkata, sebuah lagi syarikat berminat untuk mengeluarkan bateri bagi kereta elektrik.

"Ini potensi besar untuk mewujudkan peluang pekerjaan buat Keluarga Malaysia.

"Saya gembira dengan perjumpaan di Jepun ini apabila ketua industri ini masih melihat Malaysia sebagai hab terbaik buat pelaburan,” katanya kepada pemberita Malaysia pada akhir lawatan kerja rasminya di Jepun di sini pada Sabtu.

Ismail Sabri berkata, berdasarkan interaksinya dengan pelabur Jepun, begitu juga pelabur yang ditemui semasa lawatan luar negaranya sebelum ini iaitu di Qatar dan Amerika Syarikat, mereka memberikan maklum balas bahawa Malaysia masih menjadi pilihan sebagai destinasi pelaburan kerana kestabilan politik.

"Kita yakin Malaysia akan terus jadi destinasi pilihan. Kekalkan kestabilan politik adalah keyakinan pelabur untuk kekal dan sebab itulah kita jadi destinasi pilihan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: