UiTM temui formula kemenangan

Ismail akui menemui formula terbaik buat UiTM pada musim ini setelah melakukan beberapa rombakan pemain dan taktikal bagi mendapatkan aksi terbaik pasukan. - Foto UiTM FC
Ismail akui menemui formula terbaik buat UiTM pada musim ini setelah melakukan beberapa rombakan pemain dan taktikal bagi mendapatkan aksi terbaik pasukan. - Foto UiTM FC
A
A
A

PENGENDALI UiTM FC, Ismail Ibrahim ternyata lega setelah permulaan yang hambar di awal musim dinoktahkan dengan dua kemenangan berturut-turut The Lions.

Malah Ismail mengakui menemui formula terbaik buat UiTM pada musim ini setelah melakukan beberapa rombakan pemain dan taktikal bagi mendapatkan aksi terbaik pasukan.

Justeru, beliau mengharapkan rentak konsisten dapat diteruskan pemain-pemain bagi terus menjauhi kelompok bawah Liga Premier.

“Sememangnya saya sangat gembira selepas kekalahan demi kekalahan yang dilalui, akhirnya pemain-pemain berjaya bangkit dan berikan persembahan terbaik dalam dua perlawanan terakhir.

“Dua kemenangan ini sedikit sebanyak menyuntik semula keyakinan dan moral pemain-pemain bagi hadapi baki saingan Liga Premier. Banyak perubahan saya lakukan setiap kali perlawanan kerana mahu mendapatkan kesebelasan yang terbaik dan akhirnya saya telah temui.

“Sekarang saya sudah temui ramuan yang terbaik dan harap pemain mampu meneruskan apa yang kita sedang lakukan dalam dua perlawanan terakhir,” katanya.

UiTM yang tewas enam kali berturut-turut berjaya meraih mata sulung dan juga kemenangan pertama selepas menundukkan Skuad Projek FAM-MSN 1-0 pada 17 Mei.

Rentak kemenangan diteruskan apabila mereka menewaskan Perak FC, 2-0 di Stadium Perak, Ipoh pada 21 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Situasi itu meletakkan UiTM yang menggunakan 100 peratus pemain tempatan musim ini kian menghampiri kedudukan kelompok pertengahan Liga Premier.

“Sememangnya saya berbangga dengan semangat juang yang ditunjukkan pemain-pemain kerana melainkan penjaga gol, Ramdhan Ab Hamid, semua pemain adalah pelajar.

“Bukan mudah untuk bermain dengan kekuatan semua pemain tempatan dan saya harap kami mampu meraih satu lagi kemenangan sebelum satu lagi aksi di pusingan pertama Liga Premier.

“Berdepan PDRM, saya tidak memandang rendah kemampuan mereka kerana skuad kendalian Wan Rohaimi itu ada kualiti tersendiri. Saya mahu pemain cuba mencuri satu mata atau jika bonus, mendapatkan kemenangan yang seterusnya boleh meletakkan kami dalam kelompok yang lebih baik di Liga Premier,” katanya.