X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Ibu bapa perlu hapus stigma kurang enak terhadap ILKBS

Ti Lian Ker
A
A

PEKAN - Masyarakat khususnya ibu bapa perlu membuang 'stigma kurang enak' terhadap Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) kerana kaedah pembelajaran secara amali dan praktikal yang ditawarkan adalah memenuhi keperluan industri.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, kebolehpasaran graduan ILKBS ialah sebanyak 95 peratus selain mereka, walaupun bermula di peringkat rendah, akhirnya akan menikmati kenaikan yang baik disebabkan kemahiran diperoleh menjadi nilai tambah mereka.

"Latihan yang diajar adalah berdasarkan kepada kehendak pemain industri dan latihan praktikal yang banyak dilakukan di sini menjadikan mereka sudah mempunyai kemahiran diperlukan walaupun baru bermula dalam bidang pekerjaan.

"Ini menjadikan ILKBS sebagai ‘hunting ground’ kepada pemain industri selain pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) yang diperoleh juga membolehkan lepasan ILKBS mencipta pekerjaan sendiri," katanya dalam sidang media selepas merasmikan ILKBS Career Fest Zon Timur 2022 di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini, pada Khamis.

Setakat ini, Lian Ker memaklumkan terdapat 22 ILKBS di seluruh negara yang menawarkan 196 kursus daripada 14 bidang latihan termasuk teknologi automotif, teknologi mekanikal, teknologi maklumat, teknologi elektrikal dan hospitaliti.

Secara purata, seramai 8,000 pelatih terpilih pada setiap pengambilan dan jumlah itu membolehkan pelatih mendapat perhatian penuh daripada tenaga pengajar selain berpeluang mengendalikan peralatan diperlukan bagi meningkatkan kemahiran dan keyakinan mereka dalam bidang dipelajari.

"Ibu bapa seharusnya memberikan sokongan kepada anak yang memilih untuk ke ILKBS. Selain kemahiran, pelbagai bantuan lain diberikan seperti penginapan dan belanja," katanya yang turut berharap lebih ramai bukan bumiputera memilih ILKBS sebagai tempat menuntut ilmu.

Mengulas mengenai ILKBS Career Fest Zon Timur, Lian Ker berkata, terdapat lebih 1,200 jawatan kosong di 14 industri pelbagai sektor pada program itu, dengan jumlah pemain industri yang mengambil bahagian dalam penganjurannya juga bertambah setiap tahun.

"Selain memberi pendedahan mengenai prospek kerjaya, program ini juga bertujuan mewujudkan dan memperkukuhkan jalinan kerjasama strategik serta persefahaman erat dengan pemain industri bagi memastikan belia di ILKBS memperoleh latihan diperlukan," katanya.

Pada perkembangan lain, Lian Ker menasihatkan golongan belia untuk tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja di luar negara yang akhirnya menyebabkan mereka menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja yang semakin berleluasa kebelakangan ini.

Beliau percaya jumlah mereka yang menjadi mangsa adalah lebih ramai daripada jumlah yang tampil ke depan dan seharusnya setiap tawaran kerja di luar negara diperiksa dengan teliti selain mendapatkan pandangan orang terdekat khususnya ibu bapa.

"Kita perlu berhati-hati terutamanya jika kerja dan gaji yang ditawarkan adalah terlalu baik untuk dipercayai...jangan tamak dan terus terpengaruh terutamanya jika ia datang daripada pihak yang tidak diketahui," katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!