Penunggang motosikal pukul warga emas didakwa esok

Laporan Sinar Harian pada Ahad lalu.
Laporan Sinar Harian pada Ahad lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Penunggang motosikal yang memukul seorang lelaki warga emas dalam kejadian berhampiran jejantas di Padang Jawa di sini akan dihadapkan ke mahkamah pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek yang berumur 23 tahun itu akan didakwa atas kesalahan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

"Sebelum ini suspek telah mendapat perintah reman dari Mahkamah Shah Alam selama empat hari untuk melengkapkan siasatan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Ahad, seorang lelaki warga emas cedera apabila dipukul seorang lelaki dalam kejadian berhampiran jejantas di Padang Jawa di sini.

Suspek memukul mangsa selepas dipercayai tidak berpuas hati dengan cara pemanduan mangsa.

Aksi suspek yang kemudiannya menjadi tular di media sosial itu menerima kecaman daripada netizen yang rata-ratanya menyifatkan tindakan suspek itu keterlaluan.

Perbuatan suspek kemudiannya berjaya dileraikan orang ramai di lokasi kejadian.